PENIAGA mula membuat persediaan membuat gerai.
PENIAGA mula membuat persediaan membuat gerai.
Mohamad Hussin


KUALA LUMPUR: Peniaga tapak bazar Ramadan di Jalan Raja di sini, mula menyusun peralatan dan menjalankan perniagaan sejak kelmarin selepas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberi amaran akan menarik balik tapak bazar dan menyenaraihitamkan nama mereka.

Tinjauan Harian Metro semalam mendapati lebih 80 peratus daripada 344 peniaga sudah membuka gerai dan menjalankan perniagaan mereka.

Peniaga songkok Megat Syahrizal Azam, 20, berkata, dia memulakan perniagaan di tapak bazar itu petang kelmarin selepas menerima stok songkok yang baru.

“Bukannya boikot atau sengaja lambat membuka kedai di tapak ini sebaliknya saya sedang menunggu stok songkok baru dan peralatan lain sebelum memulakan perniagaan.

“Walaupun bulan puasa jatuh pada Isnin lalu dan DBKL sudah memberikan kebenaran meletakkan barang pada Ahad lalu, tetapi disebabkan beberapa masalah saya terpaksa menjalankan perniagaan petang semalam (kelmarin).

“Alhamdulillah, hari ini (semalam) saya dan keluarga bertungkus-lumus menyiapkan peralatan seperti meja dan penyangkut,” katanya.

Peniaga makanan kering Muhammad Helmi Rosle, 25, berkata, dia memulakan perniagaan sejak Isnin lalu kerana tidak mahu membuat persiapan di saat akhir.

“Saya menjual kuih raya, serunding dan kerepek. Setakat ini, pengunjung tempatan belum ramai lagi, mungkin hujung minggu dan kami bergantung kepada mereka yang bekerja di sekitar kawasan ini.

“Kebanyakan yang datang pelancong asing yang melawat Dataran Merdeka. Mereka hanya melihat saja dan kalau ada yang beli, seorang dua pelancong saja,” katanya.

Sementara itu, pengunjung, Hawa Majid, 45, berkata, dia kecewa kerana di tapak bazar ini tidak menjual juadah berbuka.

“Saya ingatkan nak berbuka di sini, tetapi kecewa kerana tiada gerai yang menjual juadah berbuka. Saya terpaksa berjalan kaki ke Jalan Tunku Abdul Rahman untuk membeli juadah.

“Tidak mungkin saya datang semula ke sini kerana jauh berjalan. Saya harap DBKL lebih prihatin dengan menyediakan juadah berbuka di tapak ini bagi memberi kemudahan dan keselesaan kepada pengunjung dan peniaga,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mei 2019 @ 7:00 AM