MOHAMAD Suhaimi (kanan) bersama pembantu membuat persiapan menjual nasi lemak Sunik di Jalan Pasir Panjang, Kuala Terengganu. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli.
MOHAMAD Suhaimi (kanan) bersama pembantu membuat persiapan menjual nasi lemak Sunik di Jalan Pasir Panjang, Kuala Terengganu. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli.
Ahmad Rabiul Zulkifli


SEBUT sahaja nasi lemak Sunik, pasti ramai mengakui nasi lemak warisan turun temurun arwah Sunik Salleh di Kampung Pasir Panjang, Kuala Terengganu itu antara yang paling sedap di Terengganu hingga mengamit selera pelanggan dari Kemaman ke Besut.

Nasi lemak Sunik mewarisi resipi 60 tahun oleh dua generasi yang kini diteruskan anaknya, Ros Amidah Abdullah, 47, sejak 15 tahun lalu.

Berbeza dengan nasi lemak biasa diniagakan pada siang hari, nasi lemak Sunik hanya boleh didapati selepas 12.30 tengah malam dan dijual sehingga 5.30 pagi.

Tinjauan ke gerai jualan nasi lemak itu pada 1 pagi semalam mendapati lebih 20 pelanggan sudah beratur panjang untuk membeli nasi lemak berkenaan.

Pelanggan, Mohd Syafiq Mat, 26, dari Kampung Bukit Tok Beng berkata, dia sudah empat tahun menjadi pelanggan tetap nasi lemak Sunik itu.

“Paling kurang tiga kali seminggu mesti menikmati juadah nasi lemak itu. Saya selalu datang seawal 11 malam ke gerai untuk pastikan tidak perlu beratur panjang.

“Namun jika terpaksa beratur saya tetap sanggup menunggu untuk membeli nasi lemak berlauk ayam goreng kegemaran saya.

“Nasi lemak Sunik menepati cita rasa pelanggan justeru tidak hairanlah ramai yang menggemarinya,” katanya.

Asrol Zainal, 25, dari Kampung Manir berkata, dia sanggup bermotosikal sejauh 15 kilometer dari rumahnya untuk membeli nasi lemak itu.

“Saya berkerja di Kuala Lumpur dan setiap kali pulang bercuti ke kampung saya pasti akan membeli nasi lemak Sunik itu. Pada saya keenakan nasi lemak Sunik tiada bandingannya.

“Aroma daun pisang serta sambalnya yang secukup rasa membuatkan sesiapa yang mencubanya pasti ingin menikmatinya untuk kali kedua,” katanya.

Sementara itu, Ros Amidah atau lebih mesra dipanggil Dah Sunik berkata, dia menggunakan resipi yang diwarisi daripada arwah ibunya tanpa sebarang tokok tambah kepada ramuan asal.

“Rata-rata pelanggan boleh membezakan nasi lemak kami dengan nasi lemak lain di pasaran.

“Hanya dengan merasai sambalnya sahaja pelanggan sudah tahu ia nasi lemak Sunik,” katanya.

Menurutnya, dia menjalankan perniagaan itu bersama suaminya, Mohamad Suhaimi Ali, 51, dan dibantu 15 pekerja.

Katanya, selain menjualnya sendiri di gerai itu, mereka mengambil tempahan daripada 30 peniaga makanan pagi di sekitar Kuala Terengganu.

“Pernah kami menerima tempahan tertinggi sebanyak 6,000 bungkus ketika musim pilihan raya.

“Harga nasi lemak Sunik bergantung pada saiz hidangan dan lauk iaitu nasi lemak ayam RM5 , ikan RM2.50 dan nasi lemak bungkus RM1.50,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 January 2019 @ 12:38 AM