Asrizal Aris


BANYAKKAN bersedekah daripada mengambil untung. Itu prinsip dalam perniagaan bagi pengasas Nasi Briyani Beratur, Halilur Rahman Mohd Ismail, 62, yang menerima sambutan luar biasa daripada penggemar nasi briyani di ibu negara.

Sesuai dengan namanya, sepanjang Ramadan gerainya pasti menarik perhatian pengunjung bazar apabila pembeli sanggup beratur panjang sebelum gerai dibuka semata-mata untuk mendapatkan nasi briyani yang mempunyai aroma tersendiri.

Halilur Rahman berkata, Nasi Briyani Beratur mula mendapat nama sejak enam tahun lalu apabila orang ramai menggelarkan dengan nama itu menggantikan dengan nama asal, Nasi Briyani Rahman.

Katanya yang sudah meniaga nasi briyani selama 17 tahun, dia terpaksa menempuh pelbagai cabaran pada permulaan perniagaannya untuk mendapatkan kepercayaan dari pelanggan.

"Ketika itu anak-anak saya kecil lagi, kami sama-sama menjerit sampai tekak kering memanggil orang untuk membeli nasi briyani saya yang dijual di tepi jalan.

"Sehingga saya pernah berjanji dengan orang yang beli bahawa saya akan pulangkan duit mereka dua kali ganda jika nasi saya tidak sedap," katanya ketika ditemui di bazar Ramadan Pinggiran Batu Caves, Kuala Lumpur.

Menurutnya, apabila perniagaannya mula dikenali dan mempunyai pelanggan tetap, dia memperbanyakkan bersedekah dengan memastikan nasi yang dibekalkan tidak mengecewakan pembeli.

"Prinsip saya kalau sudah letak nasi ‘berbukit-bukit’, jika terlebih jangan tolak atau keluarkan nasi itu, tetapi anggap sahaja kita bersedekah kepada pembeli itu. Allah sudah tetapkan rezekinya.

"Kadang-kadang saya tercedok dua ayam untuk nasi briyani, tapi saya tidak letak semula. Saya tidak pernah terfikir untuk untung lebih," kata bapa kepada enam anak itu.

Menurutnya, dia lebih mengutamakan penghargaan kepada pelanggan yang sanggup beratur tidak kira hujan atau panas demi mendapatkan Nasi Briyani Beratur.

Sepanjang Ramadan, Halilur Rahman mampu menjual nasi briyaninya sehingga 600 bungkus yang dihabiskan dalam masa tidak sampai dua jam.

Nasi Briyani Beratur dijual dengan harga RM8 untuk ayam manakala RM9 untuk daging di bazar Ramadan Pinggiran Batu Caves. Rahman juga mempunyai restoran iaitu Rahman Briyani di Batu Caves.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Jun 2017 @ 1:12 AM