TIANG khemah patah dilanda ribut.
TIANG khemah patah dilanda ribut.

Kangar: Puluhan peniaga bertempiaran lari apabila ribut menerbangkan beberapa gerai makanan di Bazar Ramadan Kangar berhampiran Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.20 petang itu, keadaan di kawasan terbabit hujan lebat sebelum tiba-tiba berlaku ribut.

Peniaga nasi ayam Azri Muhaimin, 25, berkata, ketika kejadian dia sedang sibuk menyediakan makanan untuk dijual kepada pengunjung yang datang ke bazar itu.

“Ketika itu hujan lebat dan tidak semena-mena saya ternampak beberapa payung gerai berterbangan ditiup angin.

“Situasi itu juga menyebabkan beberapa pengunjung dan peniaga bertempiaran lari menyelamatkan diri. Mujurlah tiada yang cedera dalam kejadian itu,” katanya.

Pengunjung bazar Jalil Mat Shah, 35, pula berkata, ketika kejadian dia sedang sibuk membeli-belah juadah berbuka puasa.

“Kejadian berlaku kira-kira tiga hingga lima minit dan habis segala juadah yang dijual jatuh ke tanah manakala gerai makanan pula rosak,” katanya.

Beberapa peniaga yang tidak terjejas bagaimanapun masih meneruskan operasi perniagaan mereka seperti biasa.

Jurucakap Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Perlis berkata, pihaknya sedang memantau sama ada berlaku sebarang kemalangan jiwa dalam kejadian ribut itu.

“Buat masa ini, tiada sebarang kemalangan jiwa berlaku, sebaliknya ia banyak membabitkan kemusnahan harta benda dan pihak kami sedang memantau situasi ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Julai 2015 @ 7:31 AM