Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri pada sidang media di IPK Sarawak, hari ini. FOTO MELVIN JONI
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri pada sidang media di IPK Sarawak, hari ini. FOTO MELVIN JONI
Melvin Joni


Kuching: Sindiket penjualan mercun dan bunga api tanpa permit di Sarawak terus digempur apabila sebanyak 8,785 kotak bahan letupan itu dirampas dalam serbuan ke atas tiga premis di bandar raya ini dan Padawan, semalam.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, rampasan pertama dilakukan di sebuah premis di Satok, di sini, kira-kira 3.30 petang.

"Dalam serbuan itu, polis merampas sebanyak 5,706 kotak mercun dan bunga api pelbagai jenis yang diletakkan di bahagian belakang premis. Turut ditahan seorang wanita berusia 37 tahun bagi membantu siasatan lanjut," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, di sini, hari ini.

Menurutnya, pihaknya turut merampas 3,033 kotak mercun dan bunga api dalam serbuan kedua di Jalan Rubber, di sini, kira-kira sejam kemudian serta menahan dua lelaki berusia 47 dan 61 tahun.

Katanya, anggota Batalion 11 Pasukan Gerakan Am (PGA) Batu Kawa juga merampas 46 kotak mercun dan bunga api dalam serbuan di Batu 5, Jalan Penrissen kira-kira 11.30 pagi semalam.

"Seorang lelaki berusia 49 tahun turut ditahan kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen dan permit penyimpanan serta pemilikan yang sah ke atas semua mercun dan bunga api itu," katanya.

Katanya, kesemua kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 April 2023 @ 3:36 PM