Mohd Sabran Md Sani


JOHOR BAHRU: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Johor merampas 717 kotak pelbagai jenis mercun dan bunga api bernilai RM1.635 juta dalam tiga serbuan di daerah ini, petang semalam.

Komander PPM Wilayah Dua Johor, Asisten Komisioner Abdul Rahman Mohamad berkata, rampasan terbesar menjelang tahun baharu itu hasil serbuan ke atas dua premis perniagaan serta sebuah lori di Taman Universiti dan Taman Perniagaan Setia Indah di sini.

Katanya, operasi bermula jam 3.30 petang itu membabitkan tiga pegawai dan 11 anggota PPM yang turut dibantu dua anggota dari Balai Polis Taman Universiti.

“Serbuan pertama itu membabitkan rampasan 160 kotak bunga api dan mercun di sebuah premis perniagaan di Taman Universiti, jam 3.30 petang.

“Seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun ditahan bersama mercun bernilai RM512,640,” katanya pada sidang media di Markas PPM W2 di Tampoi di sini, hari ini.

Abdul Rahman Mohamad (kanan) bersama pegawainya menunjukkan merampas 717 kotak pelbagai jenis mercun dan bunga api bernilai RM1.635 juta dalam tiga serbuan di daerah Johor Bahru. FOTO ZAIN AHMED
Abdul Rahman Mohamad (kanan) bersama pegawainya menunjukkan merampas 717 kotak pelbagai jenis mercun dan bunga api bernilai RM1.635 juta dalam tiga serbuan di daerah Johor Bahru. FOTO ZAIN AHMED

Beliau berkata, tangkapan kedua membabitkan seorang lelaki di sebuah premis perniagaan di Taman Perniagaan Setia, di sini, jam 7 petang dan merampas 256 kotak bunga api dan mercun pelbagai jenis bernilai RM561,570.

Beliau berkata, rampasan ketiga membabitkan sebuah lori di premis perniagaan di Taman Perniagaan Setia, Setia Indah, pada jam 7.30 petang.

“Turut dirampas 301 kotak bunga api dan mercun serta kenderaan bernilai keseluruhan RM561,170,” katanya.

Katanya, pihaknya percaya mercun dan bunga api itu disimpan di kedua-dua premis itu sejak awal Disember lalu untuk edaran di pasaran tempatan pada musim perayaan yang akan tiba, serta sambutan tahun baharu.

Katanya, kedua-dua suspek dan barang rampasan diserahkan untuk siasatan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan dan IPD Johor Bahru Utara.

Katanya, kes disiasat di bawah Akta Bahan Letupan 1957.

Katanya, PPM W2 sentiasa komited dalam membanteras aktiviti penyeludupan serta semua jenis jenayah membabitkan perairan negara, pesisir pantai serta jenayah rentas sempadan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 January 2020 @ 1:18 PM