Sembilan individu ditahan bersama mercun bernilai RM30,000 yang dirampas dalam serbuan sekitar Kota Tinggi. FOTO Ihsan Polis
Sembilan individu ditahan bersama mercun bernilai RM30,000 yang dirampas dalam serbuan sekitar Kota Tinggi. FOTO Ihsan Polis
Omar Ahmad


Kota Tinggi: Seramai sembilan individu ditahan termasuk dua warganegara Indinesia kerana menjual mercun tanpa permit, dalam sembilan serbuan berasingan di sekitar daerah ini, semalam.

Ketua Polis daerah Kota Tinggi Superintendan Hussin Zamora berkata dalam serbuan yang dilakukan jam 8.30 malam hingga 11.30 malam itu, mereka merampas pelbagai jenis mercun bernilai RM30,000.

Katanya kesemua yang ditahan termasuk seorang wanita berumur 22 hingga 50 tahun.

"Sebanyak 16 kotak dan empat plastik yang mengandungi pelbagai jenis mercun dirampas, dipercayai dijual tanpa permit.

"Hasil siasatan pihak polis turut mendapati kesemua premis yang diserbu itu tidak memiliki permit menjual mercun dan bunga api dari pihak berkuasa.

"Semakan rekod jenayah lampau juga mendapati dua individu mempunyai rekod lampau kes jenayah dan seorang daripada merek berstatus orang dikehendaki bersabit dengan kes jenayah komersil," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 kerana memiliki, menjual, membeli atau bermain mercun atau bunga api, selain daripada yang dibenarkan.

Manakala dua lelaki warganegara Indonesia turut disiasat di bawah Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah untuk berada di Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 April 2023 @ 10:34 PM