GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Polis menahan dua lelaki tempatan dan merampas pelbagai jenis mercun dan bunga api dipercayai tanpa permit dianggarkan bernilai RM400,000 dalam satu serbuan di sebuah rumah kedai di kawasan Tanjung Rambutan di sini semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, operasi khas menerusi Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh pada kira-kira 5.30 petang itu berpandukan maklumat yang diterima mengenai simpanan mercun dan bunga api tanpa permit.

"Hasil operasi, polis menangkap dua lelaki tempatan berusia 29 dan 30 tahun bersama rampasan sebuah lori dan 715 kotak pelbagai jenis mercun dan bunga api.

"Siasatan awal mendapati kesemua mercun dan bunga api yang dirampas adalah disimpan tanpa permit di dalam rumah kedai berkenaan," katanya dalam satu kenyataan di sini malam ini.

Mohd Yusri berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 8, Akta Bahan Letupan 1957.

"Kedua-dua suspek direman selama empat hari bermula hari ini sehingga Isnin ini untuk siasatan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 September 2022 @ 10:21 PM