Gambar Hiasan
Gambar Hiasan
Faliq Lajim


KEGIATAN dua beradik menjaga premis simpanan mercun dan bunga api sempena Aidilfitri mengundang padah apabila dicekup dalam dua serbuan berasingan di sekitar Klang, semalam.

Selain penahanan kedua-dua suspek berusia 39 dan 42 tahun itu, polis turut merampas mercun dan bunga api berjumlah RM120,000 di dua premis berasingan, kira-kira 1 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Klang Utara Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, serbuan hasil maklumat dan risikan itu turut disertai Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

“Dalam operasi yang diketuai Pegawai Turus D7 negeri Deputi Superintendan Azmi Shukor itu, suspek pertama ditahan di sebuah premis di Jalan Indah Satu.

“Kami merampas sebanyak puluhan kotak bunga api dan mercun jenis Happy Boom Cracker, Happy Boom Rop Gun TG3008 dan Happy Boom Flower Silver Cracking,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Op Selamat 15 dan Penyerahan Borang Balik Kampung di Jalan Meru, Klang, hari ini.

Nurulhuda berkata, pihaknya kemudian menyerbu sebuah lagi stor yang terletak berdekatan lokasi pertama di Batu Belah di sini, pada jam 2.45 petang.

“Dalam serbuan itu, kami merampas pelbagai kotak mercun antaranya jenis mercun papan dan roket.

“Kedua-dua suspek dan barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara bagi tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, semua nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM120,000 sekali gus menjadi kes terbesar bagi musim Aidilfitri setakat ini

“Mercun dan bunga api itu dipercayai stok untuk kegunaan sepanjang musim perayaan berkenaan tahun ini.

“Kes disiasat mengikut Peraturan 74 Peraturan-Peraturan Bahan Letupan 1923 dan Seksyen 6 Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Bahaya 1958,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mei 2019 @ 1:50 PM