Dr Md Nasir Ibrahim
Dr Md Nasir Ibrahim
Ridzuan Abdul Rahman


Hulu Kelang: Pihak yang membuat aduan berkaitan isu penyelewengan dana filem Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) diminta mengemukakan bukti lengkap supaya siasatan dapat dijalankan.

Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Profesor Dr Md Nasir Ibrahim berkata tindakan itu perlu agar siasatan secara telus dapat dijalankan kepada mereka yang terbabit selain tidak membuang masa pihaknya membongkar isu panas berkenaan.

"Terus terang saya katakan maklumat ini secara konkrit tiada. Banyak orang buat aduan kepada saya, tapi bila ditanya bukti, kebanyakannya sama ada tak mahu berkongsi maklumat lanjut atas dasar persahabatan.

"Mereka tak nak kawannya kena tindakan. Saya kata dalam perkara ini kena telus. Ini ialah duit cukai dari rakyat. Jadi banyak juga dengar dari mulut orang lain yang mempertikai penyelewengan dana ini.

"Mudah saja, kalau ada bukti sila bagi. Kalau tiada, baik jangan cakap. Sebab ini akan menjejaskan reputasi penggiat seni seolah-olah ramai yang menyalahguna dana.

"Bagi saya, kalau tiada bukti mungkin ia reka-reka. Bagi saya masa sikit. Saya takkan biarkan benda ini dibiarkan begitu saja," katanya ditemui pada Majlis Berbuka Puasa Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima) di Kompleks Finas, malam kelmarin.

Md Nasir menjelaskan isu berkaitan 47 syarikat dan individu yang menerima dana perfileman bukanlah baharu kerana pernah dibangkitkan oleh kepimpinan terdahulu.

"Senarai ini sebenarnya dari tahun 2015 hingga 2022 sebenarnya sudah meningkat. Finas beri beberapa cadangan dalam memastikan penerima dana dapat menyiapkan tugas-tugas atau projek-projek yang diberikan.

"Kita sentiasa berurusan dengan hantar surat peringatan, kali kedua beri amaran dan ketiga amaran tegas. Yang menjadi masalah ialah kalau yang tak beri maklum balas langsung.

"Kalau yang beri maklum balas, kita berbincang sama ada dana itu dia pulang balik atau siapkan projek. Kita akan bantu supaya masalah ini diselesaikan. Dengan cara itu mereka takkan berhadapan tindakan undang-undang," katanya.

Menurutnya, kalau mereka berhadapan tindakan undang-undang dan didapati bersalah, maka pastinya akan berlaku penghakiman muflis dan perkara itu cuba dielakkan Finas.

"Kita sentiasa terbuka beri peluang asalkan ada kesungguhan penerima dana untuk membetulkan keadaan. Ini yang sepatutnya berlaku. Rundingan sentiasa dijalankan untuk beri peluang.

"Kes-kes yang disebut pula adalah yang sebelum ini. Ia dibangkitkan kerana terdapat segelintir penggiat industri rasa seolah tiada tindakan diambil," katanya.

Md Nasir berkata, daripada 47 syarikat dan individu yang terbabit, tiga daripadanya sudah menyiapkan projek mereka dan tiga lagi sedang berusaha menyiapkan projek filem menerusi dana yang diterima.

"Yang lain masih berunding dan kami bagi peluang. Ada tiga langkah yang diambil menerusi perkara ini iaitu tindakan pembetulan di mana perkara yang salah itu boleh diperbetulkan. Ia sama ada dana terbabit dipulangkan atau projek disiapkan.

"Keduanya tindakan undang-undang bawa ke mahkamah dan berdepan hukuman. Tapi masih boleh datang berbincang untuk menyelesaikan masalah ini.

"Dan ketiga tindakan menghalang daripada berulang. Bermula tahun lalu Finas dah ketatkan syarat untuk penerima dana. Panel 'pitching' pula disertai mereka yang berwibawa sebelum meluluskan dana," katanya. Terdahulu Md Nasir berkata, Finas akan membuat laporan polis terhadap penerima dana filem yang terbukti melakukan penyelewengan hingga mengakibatkan filem gagal disiapkan.

Menurutnya, dia menerima banyak maklum balas dan aduan yang mendakwa dana perfileman yang diberi disalah guna oleh pihak berkenaan, baru-baru ini.

Ada di antara penerima dikatakan membelanjakan wang untuk kepentingan peribadi seperti membeli kenderaan dan mengubah suai kediaman, namun sekadar dakwaan dan tidak disertai dengan bukti kukuh.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 April 2023 @ 2:19 PM