FINAS. FOTO Arkib NSTP
FINAS. FOTO Arkib NSTP

Kuala Lumpur: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) sedang menyiasat dan meneliti tindakan yang wajar diambil terhadap syarikat produksi Filmart Productions Sdn Bhd sekiranya terdapat pelanggaran terma perjanjian Dana Kandungan Digital (DKD) selepas didakwa tidak melunaskan bayaran kepada pembiaya pihak ketiga.

Finas dalam satu kenyataan hari ini berkata, mereka tidak dimaklumkan secara rasmi berkaitan pembiayaan pihak ketiga oleh syarikat produksi itu seperti mana yang sudah digariskan dalam perjanjian kontrak bagi menyiapkan filem Ushaer.

"Finas menerima aduan daripada Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) berhubung projek DKD bertajuk Ushaer terbitan Filmart Productions Sdn Bhd, penerima dana bagi Program TV/OTT dengan Kerjasama RTM.

"Syarikat berkenaan didakwa menerima pembiayaan atau pelaburan daripada pihak ketiga iaitu syarikat Eagle Power Technologies Sdn Bhd yang juga ahli PFM.

"Semakan Unit Pelaksanaan & Pemantauan Projek, Bahagian Pengurusan Produksi Finas mendapati projek DKD Ushaer mematuhi jadual perbatuan yang ditetapkan serta pihak Finas tidak dimaklumkan secara rasmi berkaitan pembiayaan pihak ketiga oleh Filmart Productions Sdn Bhd seperti mana yang digariskan dalam perjanjian kontrak.

"Finas sedang menyiasat dan meneliti tindakan yang bersesuaian sekiranya terdapat sebarang pelanggaran terma perjanjian DKD syarikat Filmart Production Sdn Bhd," katanya.

Dalam masa sama, Finas menegaskan pihaknya boleh mengambil tindakan kepada penerima DKD sekiranya didapati memburukkan nama baik Finas, kementerian dan kerajaan.

"Finas sudah mengeluarkan surat peringatan rasmi bertarikh 16 Ogos lalu kepada Filmart Production Sdn Bhd dengan menekankan mengenai Klausa 9.1 (c) di dalam kontrak iaitu Finas boleh, dalam mana-mana tempoh tertentu, menahan mana-mana pembayaran dana di bawah perjanjian ini jika didapati penerima melakukan apa-apa perlakuan, pernyataan atau perbuatan yang boleh menjejaskan atau memburukkan nama baik Finas, kementerian dan kerajaan.

"Ini termasuk tanggungjawab syarikat untuk melunaskan apa-apa jua pembayaran kepada pihak ketiga yang berkaitan dengan penyiapan projek DKD ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Oktober 2023 @ 2:04 PM