Nor Fazlina Abdul Rahim


Pasir Puteh: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengekang aktiviti penyeludupan menerusi 33 kes membabitkan nilai rampasan RM667,471, serta lebih RM2.4 juta nilai cukai.

Kesemua kes membabitkan rampasan rokok, mercun, beras serta barang lain-lain itu hasil operasi bersepadu dikenali sebagai Ops Badai dan Ops Makmur II yang diadakan sejak 27 Mac sehingga kelmarin.

Operasi berkenaan diadakan dengan kerjasama negeri-negeri Pantai Timur yang membabitkan JKDM Kelantan, Terengganu serta Pahang selain turut disertai Pasukan Tempur Operasi Medan Kastam (Cobra).

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk Sazali Mohamad berkata, rampasan rokok merekodkan kes paling banyak iaitu 16 kes membabitkan rampasan lebih 3.41 juta batang rokok.

Katanya, pelbagai jenis rokok yang dirampas itu bernilai RM597,368 dengan cukai terbabit adalah lebih RM2.3 juta.

"Rampasan mercun pula membabitkan lapan kes iaitu sebanyak 1.32 tan bernilai lebih RM26,000 serta nilai cukai sebanyak RM39,377.

"Beras pula membabitkan dua rampasan sebanyak 4.98 tan bernilai RM8,770 serta cukai RM3,508. Kes lain-lain pula merekodkan tujuh kes membabitkan nilai lebih RM35,023 serta cukai RM62,814," katanya.

DATUK Sazali Mohamad (kanan) menyampaikan sumbangan kepada anggota JKDM yang berjaya mengekang aktiviti penyeludupan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
DATUK Sazali Mohamad (kanan) menyampaikan sumbangan kepada anggota JKDM yang berjaya mengekang aktiviti penyeludupan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas iftar bersama pegawai dan anggota JKDM yang terbabit dengan Ops Badai dan Makmur II di sini, malam tadi.

Sazali berkata, sepanjang tempoh operasi berkenaan, 11 suspek berusia 26 hingga 45 tahun turut ditahan dan siasatan lanjut terhadap suspek masih dilakukan.

"Modus operandi yang dilakukan suspek adalah dengan membawa masuk rokok dari negara jiran, selatan tanah air dan Lembah Klang menggunakan pelbagai jenis kenderaan sama ada lori atau van untuk disimpan sebelum diedarkan.

"Bagi tangkapan mercun pula, suspek membawa masuk dari negara jiran sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.

"Kesemua kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) dan Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 April 2023 @ 9:00 AM