Nurul Amanina Suhaini


Johor Bahru: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor mematahkan cubaan penyeludupan rokok putih dan air zam zam membabitkan nilai rampasan serta cukai lebih RM8.7 juta menerusi dua operasi berasingan di sini, baru-baru ini.

Pengarah JKDM Johor, Sazali Mohamad berkata, turut ditahan tiga lelaki tempatan berusia antara 21 hingga 43 tahun iaitu pemandu dan kelindan lori.

Katanya, pada 30 Disember lalu, kira-kira jam 3.45 petang pihaknya merampas 3,000 liter air zam zam bernilai RM66,000 di laluan keluar cawangan eksport Kompleks Sultan Abu Bakar, Tanjung Kupang, di sini.

"Rampasan adalah hasil pemeriksaan ke atas sebuah lori ditahan membawa 600 botol air zam zam dipercayai cuba dibawa keluar ke negara jiran.

"Modus operandi adalah dengan membuat pengikraran yang tidak benar, selain lori turut membawa dagangan lain termasuk peralatan mandian, minyak urut dan peralatan sembahyang.

"Dipercayai ada permintaan dari Singapura dan sampel air zam zam sudah dihantar ke Jabatan Kimia pada 2 Januari lalu untuk mengesahkan ketulenannya," katanya pada sidang media di Menara Kastam Johor, hari ini.

Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor, Sazali Mohamad (tiga dari kanan) menunjukkan menunjukkan sebahagian air zamzam yang berjaya dirampas sebanyak 600 botol bersamaan 3000 liter pada sidang akhbar di Menara Kastam, Johor Bahru. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor, Sazali Mohamad (tiga dari kanan) menunjukkan menunjukkan sebahagian air zamzam yang berjaya dirampas sebanyak 600 botol bersamaan 3000 liter pada sidang akhbar di Menara Kastam, Johor Bahru. FOTO NUR AISYAH MAZALAN

Sazali berkata, pemandu dan kelindan lori berusia 21 dan 30 tahun ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967 serta Seksyen 135(1)(g) Akta Kastam 1967.

Katanya, dalam operasi berasingan pada jam 11.45 pagi 28 Disember lalu, sebanyak 7.92 juta batang rokok putih bernilai RM3.16 juta dengan nilai cukai berjumlah RM5.54 juta yang diimport dari luar negara dirampas.

"Rokok yang dipercayai tidak berkastam itu dirampas menerusi pemeriksaan ke atas sebuah kontena di Bay Pemeriksaan Kontena, Pelabuhan Pasir Gudang.

"Modus operandi adalah dengan membuat pengikraran tidak benar dan mengelirukan iaitu dagangan diikrar sebagai aksesori kabinet bagi elak dikenakan cukai tinggi dan permit import.

"Seorang lelaki tempatan dari syarikat perkapalan berusia 43 tahun ditahan dan kes disiasat mengikut Peraturan-Peraturan 30(1) Peraturan-Peraturan Zon Bebas (Pindaan) 2019, Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 135 (1)(a) Akta Kastam 1967," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 January 2022 @ 4:31 PM