Nor Fazlina Abdul Rahim


Rantau Panjang: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan mematahkan cubaan menyeludup rokok menggunakan laluan laut selepas merampas hampir 2.1 juta batang rokok.

Serbuan dilakukan di tepi pesisiran Pantai Senok, Bachok itu membabitkan nilai rampasan lebih RM2.1 juta termasuk cukai.

Serbuan jam 11 malam kelmarin dilakukan di tepi pesisiran Pantai Senok, Bachok itu membabitkan nilai rampasan sebanyak lebih RM2.1 juta termasuk nilai cukai.

Pengarah JKDM Kelantan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, serbuan dilakukan hasil maklumat awam dan intipan pasukan operasi Cawangan Penguatkuasaan Rantau Panjang selama dua minggu.

WAN Jamal (kanan) bersama pegawai memeriksa rampasan rokok pada sidang media di Pejabat Cawangan Penguatkuasaan Rantau Panjang. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
WAN Jamal (kanan) bersama pegawai memeriksa rampasan rokok pada sidang media di Pejabat Cawangan Penguatkuasaan Rantau Panjang. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Katanya, ketika serbuan dilakukan, rokok yang dipercayai dari negara jiran itu baru selesai dipunggah menggunakan bot ke dalam sebuah lori muatan 10 tan.

"Ketika serbuan dilakukan, pemandu lori sudah melarikan diri dan kita menemui hampir 2.1 juta batang rokok. Rampasan rokok dianggarkan bernilai RM731,500 di pasaran tempatan dan nilai cukai RM1.4 juta.

"Siasatan masih diteruskan bagi mengesan pemilik barang dan lori berkenaan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, modus operandi yang dilakukan sindiket adalah menggunakan laluan laut di pesisir pantai sebelum dimuatkan ke dalam lori untuk diedar ke pasaran tempatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

"Justeru, orang ramai digesa membantu JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah dan lain-lain.

"Penyeludupan bukan saja merugikan negara dari segi hasil kehilangan hasil, malah turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Mei 2023 @ 11:46 AM