Keadaan dua tapak sampah haram yang digempur Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS), semalam. FOTO IHSAN FB MPHS
Keadaan dua tapak sampah haram yang digempur Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS), semalam. FOTO IHSAN FB MPHS
Amirul Aiman Hamsuddin


Hulu Selangor: Jadikan tanah kerajaan dan persendirian di kawasan tersorok sebagai lokasi tapak pembuangan sampah haram secara besar-besaran.

Itu antara aktiviti dilakukan kumpulan individu yang dikesan menjadi punca pencemaran bau dan sungai di daerah ini.

Terbaru Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) mengadakan operasi penguatkuasaan tapak sampah haram di dua lokasi di daerah ini, semalam.

Dua lokasi itu adalah di Jalan Ipoh - Kuala Lumpur berhampiran Serendah dan Jalan SKC Timah, Bukit Beruntung.

MPHS berkata, seramai 18 anggota terbabit dalam operasi itu membabitkan petugas Jabatan Pengurusan Sisa Pepehal dan Pembersihan Awam MPHS, Jabatan Penguatkuasaan MPHS, Jabatan Bangunan, Jabatan Perancang Bandar serta beberapa agensi antaranya Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Selangor (PDTHS) dan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS).

Katanya, operasi pertama dilakukan di Jalan Ipoh - Kuala Lumpur, Serendah susulan terdapat longgokkan sampah haram di kawasan tidak dibenarkan MPHS.

"Semakan lanjut mendapati kawasan pembuangan sampah haram itu adalah tanah hak milik dan dipenuhi sisa bahan binaan serta sisa pukal.

"Kawasan itu sengaja ditutupi dengan palang dan terletak berhampiran sungai," katanya.

MPHS berkata, pihaknya kemudian mengambil tindakan penguatkuasaan ke atas satu lagi tapak longgokan sampah haram di Jalan SKC Timah Bukit Beruntung.

"Hasil siasatan mendapati lokasi pembuangan sampah haram itu adalah tanah kerajaan.

"PDTHS mengambil tindakan menutup kawasan itu bagi mengelakkan penambahan sisa buangan sampah," katanya.

Menurutnya, susulan itu notis kompaun dikeluarkan oleh Jabatan Bangunan, Jabatan Perancang Bandar dan Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam.

" Manakala LUAS mengeluarkan surat arahan pembersihan mengikut Seksyen 122(1) di bawah Enakmen lembaga Urus Air Selangor.

"Sehubungan itu, penduduk daerah ini yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti pembuangan sampah secara haram diminta menghubungi Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (JPSPPA) MPHS ditalian 03-60641050 atau emelkan ke [email protected] untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 April 2023 @ 1:01 PM