MPHS menyita barangan empat penjaja yang meninggalkan barangan mereka di tempat awam di sekitar  Jalan Meranti, Bandar Baru Batang Kali, di sini. FOTO IHSAN MPHS
MPHS menyita barangan empat penjaja yang meninggalkan barangan mereka di tempat awam di sekitar Jalan Meranti, Bandar Baru Batang Kali, di sini. FOTO IHSAN MPHS
Muhaamad Hafis Nawawi


Hulu Selangor: Tindakan empat penjaja meninggalkan barangan mereka di tempat awam di sekitar Jalan Meranti, Bandar Baru Batang Kali, di sini, mengundang padah.

Walaupun sudah diberi notis awal namun penjaja berkenaan gagal mematuhinya dan menyebabkan ia disita dalam operasi Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) hari ini.

Yang Dipertua MPHS, Mohd Hasry Nor Mohd berkata, seramai 28 anggota operasi terdiri daripada 26 anggota penguatkuasa dan dua anggota daripada Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (JPSPPA) terbabit dalam operasi ini.

Menurutnya, operasi dijalankan selepas setelah mendapati penjaja di kawasan itu gagal mematuhi notis yang dikeluarkan kepada mereka sebelum ini.

"MPHS mengeluarkan notis awal kepada penjaja pada Februari dan Jun lalu supaya tidak meninggalkan barang-barang perniagaan selepas tamat waktu operasi.

"Namun, didapati penjaja masih gagal mematuhi arahan yang dikeluarkan sehingga menyebabkan tindakan sitaan diambil," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, dalam operasi itu, sebanyak empat gerai disita dan tindakan sitaan ini dilaksanakan mengikut Seksyen 46(1)(a), dan 46(3), Akta Jalan Parit Dan Bangunan 1974 iaitu meletakkan sesuatu apa-apa himpunan di tempat awam.

"Penjaja yang mempunyai lesen penjaja dikeluarkan oleh MPHS perlu mematuhi syarat yang ditetapkan.

"Tindakan ini dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan peruntukan undang-undang yang dikuatkuasakan MPHS dan pemantauan serta tindakan seumpama ini akan diteruskan dari masa ke masa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Jun 2022 @ 10:29 PM