ANTARA lipas yang ditemui dalam operasi berkenaan. FOTO Ihsan MPHS.
ANTARA lipas yang ditemui dalam operasi berkenaan. FOTO Ihsan MPHS.
Amirul Aiman Hamsuddin


Hulu Selangor: Sebuah premis makanan di Hulu Bernam, di sini diarah tutup serta-merta selepas didapati beroperasi dalam keadaan kotor, semalam.

Pemeriksaan kakitangan Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (JPSPPA) Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) pada jam 3.30 petang turut mendapati hurungan lipas di premis terbabit.

Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) berkata, pihaknya mendapati terdapat beberapa kesalahan dan perlanggaran berkaitan kebersihan di bawah piawaiannya.

"Tindakan penguatkuasaan sudah diambil terhadap pemilik premis makanan iaitu Notis Penutupan selama 14 hari di bawah UUK 62, UUK Establisymen Makanan (MPHS) 2007," katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Sehubungan itu, penduduk daerah ini disaran supaya memilih premis makanan yang mencapai Gred Bersih 'A' hasil dari penilaian.

"Ini bertujuan menghindari penyakit berjangkit bawaan makanan seperti keracunan makanan dan lain-lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2024 @ 7:42 PM