BENGKEL baiki kenderaan di Taman Kasaso berdekatan Kampung Koskan, Sungai Buaya diserbu Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) selepas disyaki menjadi punca pencemaran. FOTO Ihsan MPHS
BENGKEL baiki kenderaan di Taman Kasaso berdekatan Kampung Koskan, Sungai Buaya diserbu Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) selepas disyaki menjadi punca pencemaran. FOTO Ihsan MPHS
Muhaamad Hafis Nawawi

Hulu Selangor: Bengkel baiki kenderaan di Taman Kasaso berdekatan Kampung Koskan, Sungai Buaya, dekat sini diserbu Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) Selasa lalu selepas disyaki menjadi punca pencemaran.

MPHS berkata, operasi penguatkuasaan dijalankan bersama agensi berkaitan bagi menyelesaikan isu terbabit yang mana seramai 35 anggota operasi yang terbabit terdiri daripada MPHS (10), Lembaga Urus Air Selangor (15), Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Selangor (3), Air Selangor (3), Jabatan Alam Sekitar (2) dan Polis Diraja Malaysia (2).

Menurutnya, ketika anggota operasi berada di lokasi, terdapat kesan-kesan tumpahan bahan sisa terjadual minyak hidraulik/minyak hitam yang disimpan di dalam tong anggaran lima meter dari tebing sungai.

"Pihak Luas memberikan notis atas kesalahan penambakan sungai yang dijalankan di kawasan premis.

"Pemilik premis memaklumkan tiada aktiviti servis kenderaan dijalankan dan hanya melakukan aktiviti penyimpanan bas," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, terdapat tujuh tong berisi minyak hidraulik yang dikitar semula tidak diurus dengan baik dan kesan tumpahan dikhuatiri, jika berlaku hujan lebat aliran air itu akan memasuki kawasan sungai.

"Pegawai pejabat daerah akan mengeluarkan notis kepada pemilik mengikut Seksyen 425 dalam tempoh tujuh hari bagi pembersihan kawasan rizab tanah kerajaan.

"Pihak JAS juga mengambil sampel untuk ujian makmal dan mengeluarkan Field Citation (FC) arahan kepada pemilik untuk memastikan bahan sisa terjadual disimpan di kawasan berbumbung sebelum dilupuskan dengan kadar segera ke kontraktor berlesen dan tiada aktiviti penyelenggaraan dijalankan.

"Tempoh diberikan tiga hari dari tarikh FC.

"Di dalam operasi itu, beberapa notis kesalahan ke atas premis turut diberikan antaranya Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (JPSPPA) mengeluarkan notis mengikut Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta171) Seksyen 69," katanya.

Menurut MPHS, jabatan Penguat kuasa mengeluarkan notis mengikut Seksyen 47(1)d, Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133).

"Jabatan Perancang juga memberikan notis amaran Seksyen 26(1)(a) menjalankan pemajuan (bengkel bas dan tempat penyimpanan bas) tanpa kebenaran di atas tanah kerajaan dan memulihkan tanah setakat yang mungkin dalam tempoh 30 hari.

"Jabatan Bangunan memberi notis amaran mengikut Seksyen 70 (13)(c) membina struktur bangunan tanpa kebenaran MPHS (Rumah) dan diminta mengemukakan pelan bangunan kepada MPHS dalam tempoh 14 hari," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Februari 2023 @ 2:14 PM