PETIKAN video Salahuddin ketika meninjau kawasan tapak pembuangan sampah haram di Kampung Banjaran. FOTO Facebook Salahuddin Ayub
PETIKAN video Salahuddin ketika meninjau kawasan tapak pembuangan sampah haram di Kampung Banjaran. FOTO Facebook Salahuddin Ayub
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor menafikan berlakunya pencemaran sisa toksik di kawasan Kampung Banjaran, Kempas, di sini, sebaliknya ia adalah isu tapak pembuangan sampah haram yang gagal diselesaikan sejak sekian lama.

Pengarah JAS Johor, Dr Mohd Famey Yusoff berkata, pihaknya sudah beberapa kali mengambil tindakan berikutan pencemaran bau di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun katanya, berikutan tanah yang dijadikan tapak pembuangan sampah haram itu adalah hakmilik persendirian dengan status tanah pertanian, JAS tidak dapat mengambil tindakan lanjut kerana ia berada di bawah bidang kuasa agensi lain.

"Tidak benar berlaku pencemaran sisa toksik di kawasan Kampung Banjaran di Kempas, sebaliknya kawasan tanah persendirian di situ dijadikan tapak pembuangan sampah haram sejak sekian lama.

"JAS Johor sudah beberapa kali mengambil tindakan termasuk membuat pemantauan pencemaran bau selain memberi beberapa notis alam sekitar kepada pemilik.

"JAS Johor sudah membuat aduan lanjut kepada Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dan Pejabat Tanah Daerah bagi membolehkan tindakan lebih tegas termasuk arahan pembersihaan selain menyita tanah itu, dilakukan," katanya ketika dihubungi.

Semalam, Ahli Parlimen Pulai, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang meninjau kawasan tapak pembuangan sampah haram itu dan dilaporkan akan membawa isu berkenaan ke Parlimen minggu depan.

Beliau juga dilaporkan akan menghantar laporan kepada Menteri Alam Sekitar, Ketua Polis Johor dan Pegawai Daerah Johor Bahru.

Ia susulan aduan penduduk kawasan itu yang mengadu tentang isu penafasan mereka yang terjejas selain keadaan alam sekitar yang tercemar.

Sementara itu, Pegawai Tadbir Bahagian Khidmat Pengurusan (Komunikasi Korporat) SWCorp, Norhazrin Othman, berkata, isu tapak pembuangan sampah haram di Kempas itu adalah isu lama.

"Kami dimaklumkan tiada aktiviti baru bagi pembuangan sampah di situ dan yang ada adalah timbunan sampah lama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Oktober 2021 @ 11:35 AM