RAIMI (kiri) ketika sidang media berhubung perhimpunan di Kedutaan Amerika Syarikat.
RAIMI (kiri) ketika sidang media berhubung perhimpunan di Kedutaan Amerika Syarikat.
Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

Kuala Lumpur: Ribuan ahli persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) Islam dijangka berhimpun di depan Kedutaan Amerika Syarikat hari ini bagi menyampaikan memorandum bantahan berhubung pencerobohan rejim Zionis terhadap Al-Quds di Baitulmaqdis.

Jurucakap Sekretariat Kempen Selamatkan Al-Quds merangkap Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Mohamad Raimi Rahim berkata, himpunan itu tidak terhad kepada NGO Islam, malah turut mengalu-alukan penyertaan bukan Islam kerana membabitkan isu pencabulan hak asasi penduduk Palestin.

“Menerusi sidang tergempar gabungan NGO Malaysia yang diadakan baru-baru ini, kita putuskan untuk mengisytiharkan Jumaat ini (esok) sebagai Hari Kemarahan.

“Himpunan ini mengambil kira Masjid Al-Aqsa telah diserang dan dinafikan hak oleh Zionis Israel.

“Ia dibuktikan menerusi cubaan Israel mengenakan pembahagian Al-Aqsa dari sudut masa dan ruang ibadat serta orang Islam sendiri tidak dibenarkan masuk pada waktu tertentu,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Jelas Mohamad Raimi, isu pencerobohan yang membawa kepada pertempuran antara penduduk Palestin dan pasukan keselamatan Israel di pekarangan Masjid Al-Aqsa kian kritikal serta perlu campur tangan banyak pihak.

“Buat masa sekarang, sesiapa yang membaling batu pun ditembak rejim Zionis. Malah untuk bertakbir di dalam masjid juga tidak boleh.

“Kita percaya umat Islam dihalang masuk untuk memberi laluan kepada proses pengyahudian Israel di masjid berkenaan,” katanya.

Justeru katanya, seluruh rakyat Malaysia dijemput turut serta menyatakan solidariti dan sokongan global terhadap kempen kemanusiaan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Oktober 2015 @ 7:34 AM