TANGKAP layar rakaman CCTV dan gambar fotofit suspek samun di sebuah kedai telekomunikasi di Kompleks Menara Condong Teluk Intan, hari ini. FOTO Ihsan Polis.
TANGKAP layar rakaman CCTV dan gambar fotofit suspek samun di sebuah kedai telekomunikasi di Kompleks Menara Condong Teluk Intan, hari ini. FOTO Ihsan Polis.
Muhamad Lokman Khairi


Teluk Intan: Pengawal keselamatan cedera ditetak ketika bergelut dengan seorang penyamun di Kompleks Menara Condong Teluk Intan, di sini, awal pagi, hari ini.

Difahamkan dalam kejadian kira-kira jam 2.00 pagi itu, mangsa yang berusia lewat 60-an sedang berehat di kaunter tandas kompleks perniagaan berkenaan didatangi seorang lelaki membawa sebilah kapak.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri, berkata hasil siasatan awal mendapati suspek bertindak menetak kepala mangsa sebelum memecah masuk sebuah kedai telekomunikasi di dalam kompleks perniagaan itu.

"Suspek mengikat tangan dan kaki mangsa sebelum mengunci warga emas itu di dalam tandas.

"Suspek seterusnya memecah masuk sebuah kedai telekomunikasi kompleks berkenaan dengan cara memotong ibu kunci shutter door menggunakan grinder.

"Suspek mencuri kesemua 70 unit telefon bimbit iPhone di empat rak pameran kedai berkenaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, suspek anggaran kerugian yang dialami oleh pemilik kedai telekomunikasi adalah sebanyak RM300,000.

Ahmad Adnan berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat daripada orang awam jam 3.22 pagi.

"Unit Forensik Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kontinjen (IPK) Perak hadir membuat pemeriksaan di tempat kejadian dan hasil pemeriksaan di tempat kejadian berjaya menjumpai beberapa barang kes yang boleh membantu siasatan.

"Pihak polis masih meneruskan usaha untuk mengesan dan menangkap saspek terbabit.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini atau suspek yang terlibat diminta untuk menyalurkannya terus kepada IPD Hilir Perak di talian 0562992222 atau mana-mana balai polis yang berhampiran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 April 2023 @ 6:35 PM