Faizul Azlan Razak


Kuala Nerus: Penuntut Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) mengambil peluang mengisi masa pada hari cuti dengan menyertai program gotong-royong sempena program bersama Skuad Seindah Kasih X Jom Ronda.

Antara aktiviti yang dilakukan adalah membersihkan tandas, ruang dan tempat mengambil wuduk Masjid Kampung Seberang Takir, di sini, hari ini.

Mereka juga menyiapkan bubur lambuk untuk diagihkan kepada jemaah dan orang ramai termasuk di bazar Ramadan berdekatan, petang ini.

Dua penyampai radio Molek FM, Mek Zura dan Khai Hassan turut sama mengambil bahagian memasak bubur lambuk bersama komuniti setempat.

Penuntut Ijazah Saujana Muda Kerja Sosial, Muhammad Irfan Mohd Nasir, 21, berkata jika diikutkan dia pulang ke rumah keluarganya untuk berbuka puasa bersama, namun memilih untuk menyertai program gotong-royong bersama Skuad Seindah Kasih X Jom Ronda.

"Kalau ikutkan, hari cuti saya akan menghabiskan masa bersama keluarga sebelum kembali ke kampus.

"Namun, saya tidak mahu melepaskan peluang dan secara sukarela menghadirkan diri bersama-sama Skuad Seindah Kasih X Jom Ronda," katanya yang ditemui, di sini.

Bagi Nordayana Batrisya Mohd Syakir, 22, program gotong-royong itu begitu sinonim dengan jurusan yang dipelajari iaitu kerja sosial.

"Saya bersama 44 penuntut lain begitu seronok menyertai program seperti ini kerana banyak benda dapat dipelajari," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Masjid Kampung Seberang Takir, Abdul Halim Che Ibrahim berkata, pihaknya berterima kasih kepada Media Prima Berhad kerana memilih masjid berkenaan sebagai tuan rumah untuk program terbabit.

Katanya, seramai 60 jemaah bersama kru Skuad Seindah Kasih X Jom Ronda dan penuntut UniSZA bergotong-royong membersihkan masjid serta memasak bubur lambuk.

"Masjid ini dipilih kerana ia menjadi tumpuan pengunjung dalam dan luar yang singgah untuk menunaikan solat. Malah, keunikan masjid ini adalah ia dihiasi dengan warna-warni lampu diod pemancar cahaya (LED) pada waktu malam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 April 2023 @ 3:23 PM
Penduduk bersama pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bergotong royong menyiapkan bahan bahan untuk membuat bubur lambuk sempena program Skuad Seindah Kasih X Jom Ronda di Masjid Kampung Seberang Takir.  FOTO GHAZALI KORI
Penduduk bersama pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bergotong royong menyiapkan bahan bahan untuk membuat bubur lambuk sempena program Skuad Seindah Kasih X Jom Ronda di Masjid Kampung Seberang Takir. FOTO GHAZALI KORI