Padang Besar: Penduduk sekitar Masjid Jamek Beseri berbesar hati dan bersedia menerima kunjungan pasukan sukarelawan Program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) dan sudah membuat persiapan tempat bagi menjayakan program dua hari yang bakal bermula hari ini sehingga esok.

Bilal Masjid Jamek Beseri Baharudin Abdul Rahman, 54, berkata, program itu adalah yang terbesar pernah dilaksanakan di masjid ini kerana membabitkan jumlah penerima yang besar terdiri daripada anak yatim dan asnaf termasuk orang kurang upaya (OKU) yang tidak kurang dari 150 orang.

Menurutnya, walaupun agak gusar dengan kemampuan mereka untuk bersama-sama menguruskan program, namun rata-rata penduduk tempatan masing-masing sudah menyatakan kesediaan untuk turun padang bagi menjayakan program khasnya aktiviti gotong-royong.

"Kami sangat bersyukur kerana lokasi ini dipilih untuk Program Titipan Kasih Harian Metro.

"Bukan saja dapat menceriakan anak-anak yatim yang bakal menerima sumbangan, namun kegembiraan turut dirasai oleh golongan asnaf yang juga menerima bantuan," katanya.

Baharudin berkata, secara tidak langsung, peranan masjid untuk menyatukan ummah dapat dimanfaatkan sebaiknya yang dijadikan tempat berkumpul dan melakukan pelbagai aktiviti khasnya buat umat Islam tempatan.

Sementara itu, seorang lagi petugas Masjid Jamek Beseri, Zainuddin Derani, 50, berkata, hebahan program ini sudah dibuat kepada penduduk kampung berdekatan termasuk ahli kariah masjid dan percaya mendapat sambutan menggalakkan khasnya bagi membantu gotong-royong menyiapkan juadah berbuka puasa.

Menurutnya, walaupun pihaknya gelisah kerana tidak pernah menjalankan aktiviti berskala besar seperti TKHM namun, reaksi diterima penduduk tempatan amat menggalakkan kerana masing-masing bersemangat menjalani aktiviti disediakan penganjur.

"Kami jangkakan tidak kurang 30 sukarelawan termasuk penduduk kampung dan ahli kariah masjid hadir membantu menjayakan aktiviti khasnya gotong-royong menyediakan juadah berbuka puasa.

"Kebiasaannya kami menyediakan bubur lambuk sepanjang Ramadan. Justeru, kami berhasrat untuk menyediakan bubur lambuk istimewa sempena program ini kerana disediakan daging dan tulang hasil dari gotong-royong bersama-sama penduduk tempatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Julai 2015 @ 7:20 AM