Mohamed Farid Noh

Muar: Melaka dijangka mempunyai barisan EXCO Kerajaan Negeri yang baharu susulan penubuhan Kerajaan Perpaduan di negeri itu, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Sehubungan itu, beliau berkata, Melaka bukan hanya akan mendapat Ketua Menteri yang baharu petang esok malah barisan EXCO Kerajaan Negeri yang distruktur semula.

Katanya, pelantikan EXCO kerajaan Negeri Melaka yang baharu itu, akan diselesaikan menerusi semangat perpaduan.

"Saya sudah mengadakan perbincangan kerana majlis angkat sumpah akan diadakan pada petang esok, dan tentunya ia akan diikuti dengan penstrukturan semula barisan EXCO Kerajaan Negeri Melaka.

"Bagaimanapun, saya belum memperoleh senarai nama cadangan daripada Ketua Menteri Melaka yang baharu. Namun saya yakin semangat kerajaan Perpaduan yang wujud di peringkat nasional dapat diterjemahkan di Melaka," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Santunan Kasih Ramadan di Masjid Jamek Kampung Sungai Gersik Sungai Balang di sini pada Khamis.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika hadir Majlis Santunan Kasih Ramadan di Masjid Jamek Sungai Gersik, Muar, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika hadir Majlis Santunan Kasih Ramadan di Masjid Jamek Sungai Gersik, Muar, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN

Pada 27 Mac lalu, Ahmad Zahid memberi bayangan akan berlaku perubahan struktur pentadbiran kerajaan negeri menerusi pembentukan Kerajaan Perpaduan di Melaka.

Semalam, Presiden Umno itu mengesahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lendu, Datuk Seri Sulaiman Md Ali telah meletak jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka.

Istiadat mengangkat sumpah jawatan Ketua Menteri Melaka yang baharu akan diadakan jam 3 petang Jumaat.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari dalam kenyataannya pada Khamis berkata, istiadat itu akan berlangsung di Dewan Sri Utama, Pejabat Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Melaka, di Kompleks Seri Negeri.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata pendekatan kerajaan Perpaduan diharap dapat disebarkan luaskan di enam Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti seterusnya diterima di peringkat negeri lain.

"Tentunya kita mengharapkan di dalam enam PRN negeri iaitu Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang, Terengganu, Kedah dan Kelantan kelak, perkara yang sama akan berlaku.

"Oleh itu, kita mesti membiarkan optik dan naratif yang baik bagi menyebar luaskan situasi pembentukan kerajaan Perpaduan di peringkat negeri-negeri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mac 2023 @ 9:49 PM