AHMAD Zahid menyampaikan replika kunci rumah kepada Normah Ab Rahman. FOTO Nur Aisyah Mazalan.
AHMAD Zahid menyampaikan replika kunci rumah kepada Normah Ab Rahman. FOTO Nur Aisyah Mazalan.
Mohamed Farid Noh


Muar: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi bayangan penubuhan Kerajaan Perpaduan seperti yang berlaku di Melaka, tidak mungkin berlaku di negeri lain termasuk Johor.

Sehubungan itu, beliau meminta semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi berhubung penubuhan Kerajaan Perpaduan termasuk di Johor.

Katanya, ia berikutan spekulasi sebegitu tidak baik untuk kestabilan politik di peringkat nasional apatah lagi negeri.

"Mengapa perlu ada kebimbangan. Sebenarnya apa yang berlaku di Melaka tidak kena mengena dengan situasi negeri lain.

"Jadi suasana politik di negeri lain mungkin berbeza dengan apa yang berlaku di Melaka.

"Saya harap tiada sebarang spekulasi yang wujud sebab yang penting adalah kestabilan politik bukan sahaja di peringkat nasional tetapi kita yakin kestabilan juga perlu diwujudkan di setiap negeri.

"Apa yang penting rakyat mengharapkan kestabilan ini akan membawa pelaburan daripada luar. Kestabilan juga membawa peluang ekonomi atas dasar kepercayaan untuk peniaga secara domestik atau luar negeri," katanya pada sidang media selepas Majlis Santunan Kasih Ramadan di Masjid Sungai Gersik, di sini, hari ini.

Hadir sama, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang juga Menteri Pendidikan Tinggi dan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Isnin lalu, Ahmad Zahid dilaporkan memberi bayangan akan berlaku perubahan struktur pentadbiran kerajaan negeri menerusi pembentukan Kerajaan Perpaduan di Melaka.

Presiden Umno itu turut dilaporkan mengesahkan kerajaan ketika ini menuju kepada usaha pembentukan itu.

"Insya-Allah, di Melaka belum terbentuk Kerajaan Perpaduan tapi (kita) ke arah itu," katanya dipetik.

Umno dilaporkan mencadangkan nama Pengerusi Umno Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sebagai Ketua Menteri Melaka ke-13.

Ia susulan peletakan jawatan Datuk Seri Sulaiman Md Ali sebagai Ketua Menteri ke-12, semalam.

Mengulas lanjut mengenai pembentukan kerajaan Perpaduan termasuk di Johor, Ahmad Zahid berkata, Johor mempunyai acuannya tersendiri dalam melaksanakan Kerajaan Perpaduan di peringkat negeri.

"Saya dimaklumkan di peringkat Johor ia dilaksana menerusi kaedah negeri Johor sendiri yang mana kerajaan negeri berikan peruntukan bersesuaian kepada semua Ahli Dewan Undangan (ADUN) negeri.

"Ini tentunya akan memberikan optik yang baik kepada kerajaan Johor dan tentunya akan dapat beri keseimbangan antara kerajaan negeri diwakili Adun Barisan Nasional (BN), Adun parti gabungan lain termasuk yang tidak bersama kerajaan Persekutuan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mac 2023 @ 8:31 PM