Mohamed Farid Noh


Muar: Tiada larangan terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, daripada menghadiri mana-mana program rasmi Kerajaan Persekutuan, kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Bagaimanapun Timbalan Perdana Menteri, berkata mungkin juga arahan itu disampaikan secara peribadi bukan secara bertulis.

"Saya tidak pernah mendengar adanya arahan untuk larang beliau (Muhammad Sanusi) menghadiri mana-mana majlis rasmi anjuran kerajaan Persekutuan.

"Melainkan jika arahan itu dikeluarkan pada beliau secara peribadi, namun saya tidak mengetahui tentang perkara itu.

"Jika dakwaan itu benar, mungkin Menteri Besar Kedah boleh menyebarkan arahan atau pekeliling yang halang beliau hadiri mana-mana majlis anjuran kerajaan Persekutuan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Santunan Kasih Ramadan di Masjid Sungai Gersik, di sini, hari ini.

Hadir sama, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang juga Menteri Pendidikan Tinggi dan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Semalam, Muhamad Sanusi dilaporkan mendakwa beliau dilarang menghadiri semua program anjuran kerajaan Persekutuan termasuk acara Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA 23) yang bakal berlangsung di Langkawi pada Mei depan.

Dakwaan itu dimuat naik dalam satu hantaran di Facebook beliau hari ini tanpa menjelaskan keputusan Kabinet itu.

Muhammad Sanusi turut mendakwa perkara itu adalah keputusan Kabinet yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mac 2023 @ 8:56 PM