Datuk Rais Yasin (kanan) mengetuai senarai 10 ADUN yang mengangkat sumpah jawatan sebagai EXCO Melaka, hari ini. FOTO AMIR MAMAT
Datuk Rais Yasin (kanan) mengetuai senarai 10 ADUN yang mengangkat sumpah jawatan sebagai EXCO Melaka, hari ini. FOTO AMIR MAMAT
Amir Mamat


Ayer Keroh: Pembentukan Kerajaan Perpaduan menerusi pelantikan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) hari ini, memperlihatkan bermulanya satu penjanaan kuasa politik era baharu di negara ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, kebersamaan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dalam pembentukan kerajaan campuran itu menunjukkan kematangan politik sebenarnya bermula dari Melaka.

"Oleh itu, saya mengambil tanggungjawab (sebagai Ketua Menteri) bersama pucuk kepemimpinan UMNO terutama Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang memberikannya amanah dan tanggungjawab ini, sekali gus mencerminkan Kerajaan Perpaduan di peringkat Pusat dan di Melaka jalan seiring.

"Insya-Allah, kita ada kebersamaan (Kerajaan Pusat dan negeri) dan ini menunjukkan kematangan politik bermula di Melaka.

"Kita sudah masuk dalam era politik baharu terutamanya di negeri ini dan bermula di Melaka, satu penjanaan kuasa politik yang dipanggil `political cooperation' bermula di Melaka," katanya selepas menghadiri Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Sumpah Simpan Rahsia Ahli EXCO negeri, di Balai Istiadat Seri Negeri, di sini, hari ini.

Jumaat lalu, Ab Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka baharu menggantikan Datuk Seri Sulaiman Md Ali yang meletakkan jawatan atas faktor kesihatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 April 2023 @ 12:19 PM