Zatul Iffah Zolkiply

Marang: Mangsa banjir di Terengganu yang tercicir dalam senarai penerima bantuan tunai diminta tampil ke depan bagi membolehkan semakan dilakukan.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihaknya memandang serius isu berkenaan dan akan menangani masalah berkenaan sebaik mungkin bagi memastikan mereka yang layak tidak dipinggirkan.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga akan mengambil pendekatan sama dengan meneliti dan membuat semakan seperti yang disebut Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kelmarin dalam menangani isu keciciran itu.

"Ia sebenarnya memerlukan lebih banyak maklumat bukan hanya di Seberang Takir (tetapi) kalau di mana sahaja di seluruh Terengganu.

"Sekiranya ada yang tercicir dan selepas disahkan di peringkat Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan di peringkat daerah, kita akan cuba tangani (isu keciciran).

"Kita akan buat semakan sekiranya ada dan kalau ada yang tercicir, itu kena maklum dan tampil ke depan untuk kita buat semakan," katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Menteri Besar Cakna Rakyat Daerah Marang di Masjid Kampung Sentul Patah di sini, semalam.

AHMAD Samsuri menyampaikan bantuan kepada salah seorang mangsa banjir ketika  Program Menteri Besar Cakna Rakyat Daerah Marang di Masjid Kampung Sentul Patah. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
AHMAD Samsuri menyampaikan bantuan kepada salah seorang mangsa banjir ketika Program Menteri Besar Cakna Rakyat Daerah Marang di Masjid Kampung Sentul Patah. FOTO Zatul Iffah Zolkiply

Pada program itu, Ahmad Samsuri turut menyampaikan dana raya kepada 33 orang anak yatim dan dana bantuan mangsa banjir 2023 kepada 110 penerima bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Ru Rendang serta sumbangan kepada Masjid Kampung Sentul Patah.

Ahmad Samsuri berkata, terdapat beberapa faktor yang menyebabkan kelewatan agihan bantuan termasuk masalah tuntutan bertindih dalam kalangan mangsa.

Beliau berkata, situasi itu menyebabkan JPKK terpaksa melakukan semakan dan penyelarasan semula bagi memastikan agihan dilakukan dengan adil dan saksama.

"Sebenarnya sekarang ini dalam proses untuk diberi kepada semua (dan) saya percaya semua daerah sudah selesai urusan semakan," katanya.

Kelmarin, Ahmad Zahid mengarahkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menggunakan peruntukan yang ada untuk diagihkan kepada mangsa banjir yang mendakwa nama mereka tercicir sebagai penerima Bantuan Wang Ihsan (BWI).

Beliau sebelum itu menerima memorandum daripada 100 penduduk Taman Permint Perdana, Seberang Takir, Kuala Nerus, yang mendakwa tercicir daripada senarai penerima BWI sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mac 2023 @ 10:10 AM