Zatul Iffah Zolkiply

Dungun: Hanya ucapan terima kasih dan rasa bersyukur mampu diluahkan mangsa banjir di daerah ini apabila menerima Bantuan Wang Ihsan (BWI) sebanyak RM1,000.

Mukhtar Mat Yasin, 58, berkata, bantuan yang diterima itu akan digunakan untuk menggantikan beberapa barangan di rumah yang rosak akibat ditenggelami banjir selain membeli barangan persekolahan tiga anaknya.

Katanya, walaupun persiapan awal sudah dibuat, peningkatan air secara mendadak menyebabkan dia bersama keluarganya tidak sempat menyelamatkan beberapa barangan yang ada.

"Setiap tahun kediaman saya memang akan dinaiki air dan biasanya akan menanggung kerugian antara RM2,000 hingga RM3,000 setiap kali bencana itu melanda.

"Jadi apabila dapat bantuan sebegini, saya memang lega kerana ia boleh digunakan untuk membeli barang-barang yang rosak dan digunakan untuk membeli keperluan harian memandangkan keadaan cuaca juga membataskan saya untuk bekerja," katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan BWI di Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja di sini.

Bagi Tengku Maimun Tengku Ismail, 57, kedudukan kedai makannya yang terletak berhampiran sungai menyebabkan dia menjadi antara mangsa awal banjir setiap kali memasuki musim tengkujuh.

"Memang biasa dinaiki air cuma bezanya ketinggian paras air itu saja dan biasanya apabila musim banjir saya tidak boleh beroperasi.

ANUAR menyerahkan Bantuan Wang Ihsan kepada mangsa banjir di Kampung Pasir Raja. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
ANUAR menyerahkan Bantuan Wang Ihsan kepada mangsa banjir di Kampung Pasir Raja. FOTO Zatul Iffah Zolkiply

"Ketika banjir baru-baru ini, kedai memang dinaiki air namun ia tidak seteruk yang saya alami sebelum ini sehingga terpaksa menutup kedai hampir sebulan.

"Saban tahun menjadi mangsa banjir membuatkan kami di sini lali dan apabila menerima bantuan ini, ia memang melegakan," katanya.

Majlis penyerahan BWI itu disempurnakan Pegawai Daerah Dungun, Anuar Awang.

Sementara itu, Anuar berkata, seramai 119 ketua isi rumah (KIR) membabitkan 374 mangsa daripada Kampung Shukor, Kampung Pasir Raja dan Kampung Minda menerima BWI sebanyak RM1,000.

Katanya, ia membabitkan peruntukan sebanyak RM119,000 dan bantuan itu diharapkan dapat mengurangkan sedikit beban yang ditanggung kesemua mangsa yang terjejas.

Kerajaan sebelum ini bersetuju menaikkan kadar BWI daripada RM500 kepada RM1,000 bagi setiap KIR yang terjejas ketika Monsun Timur Laut atau terkesan dengan lain-lain bencana yang diisytiharkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Disember 2021 @ 11:04 AM