HASRAH menunjukkan bil utiliti rumahnya sekaligus mendakwa dia layak menerima bantuan RM1,000 sama ada bantuan wang ihsan Kerajaan Persekutuan dan negeri. FOTO Arkib NSTP
HASRAH menunjukkan bil utiliti rumahnya sekaligus mendakwa dia layak menerima bantuan RM1,000 sama ada bantuan wang ihsan Kerajaan Persekutuan dan negeri. FOTO Arkib NSTP
Abnor Hamizam Abd Manap

Jelebu: Mangsa banjir yang belum menerima bantuan banjir sama ada daripada Kerajaan Persekutuan atau negeri sudah dikenal pasti selain disenaraikan bagi menerima bantuan.

Penyelaras Dewan Undangan Negeri (Dun) Klawang, Azmi Selamat berkata, adalah perkara biasa jika terdapat nama mangsa yang tercicir disebabkan pelbagai faktor.

Beliau berkata, ketika bancian dibuat pihak Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) banyak rumah dalam keadaan kosong disebabkan mangsa berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

"Ada mangsa menumpang di rumah anak dan saudara mara menyebabkan maklumat lengkap berkaitan tidak dapat diselesaikan.

"Disebabkan kebanyakan jentera pentadbiran dalam keadaan amat sibuk membantu mangsa banjir, sudah pasti ada nama tercicir dan ia tidak dapat dielakkan," katanya ketika dihubungi, hari ini, bagi mengulas dakwaan mangsa banjir yang tidak menerima bantuan kewangan sama ada daripada Kerajaan Pusat dan negeri seperti dilaporkan portal berita Harian Metro, semalam.

Beliau berkata, ketika ini apabila keadaan sudah kembali reda, nama mangsa tercicir dikenal pasti dan disenaraikan sebagai penerima.

Bagaimanapun, katanya, ia perlu mendapat pengesahan daripada Pengerusi Bencana Daerah sebelum bayaran dibuat.

Berita berkaitan

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 January 2022 @ 2:58 PM