Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan ada individu dari blok kerajaan turut disiasat agensi penguatkuasaan.

Bagaimanapun Anwar berkata, beliau tiada pengetahuan mengenai perincian maklumat siasatan termasuk jawatan individu itu mahupun kes yang disiasat.

"Saya tidak tahu khusus tetapi saya dimaklumkan memang ada siasatan yang membabitkan pembangkang dan juga blok kerajaan.

"Saya tidak tahu jawatannya dan sebagainya kerana apabila ada soalan ini, saya hanya bertanya pada pihak penguatkuasaan, mereka sahkan memang ada siasatan.

"Kemudian sama ada pendakwaan itu dibuat atau tidak itu terserah kepada Jabatan Peguam Negara (AGC)," katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

ANWAR ketika sesi soal jawab pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen. FOTO BERNAMA
ANWAR ketika sesi soal jawab pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen. FOTO BERNAMA

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) mengenai sebarang siasatan turut dijalankan terhadap ahli parlimen blok kerajaan.

Berhubung siasatan dana politik, Anwar menyatakan pendiriannya, beliau terbuka mengenai siasatan berhubung pembiayaan politik yang diterima atau diberikan kepada PKR.

"Saya terbuka tiada masalah tetapi kena faham undang-undang sekarang ini membolehkan derma pada parti politik.

"Yang dikaitkan dengan pendakwaan sebelum ini ialah pendakwaan berkaitan dengan kontrak diberikan.

"Jadi, kalau cadangan ada permasalahan atau kekhuatiran bahawa ada unsur rasuah dalam derma kepada PKR, itu boleh dibangkitkan. Saya tiada masalah hal itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mac 2023 @ 12:15 PM