Fahmy A Rosli

Kuala Lumpur: Keputusan membebas tanpa melepaskan (DNAA) Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan tidak boleh dibahas dalam sidang khas di Parlimen.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia kerana platform Parlimen tidak boleh ditukar untuk berperanan sebagai sebuah mahkamah untuk membincangkan mengenai keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri.

"Tak apa itu pandangan anak muda. Kita santuni. Mana boleh kes mahkamah nak runding di Parlimen. Dia kena faham pembahagian kuasa.

"Parlimen bukan mahkamah yang boleh dia tanya soalan dan kita cuba jawab. Sebab peguam negara bukan ahli parlimen dan bukan menteri.

"Jadi kita boleh harus ada ruang untuk mana-mana ahli parlimen bertanya. Tetapi jangan jadikan Parlimen itu sidang mahkamah," katanya selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek Sri Petaling.

Anwar Ibrahim.
Anwar Ibrahim.

Beliau berkata demikian bagi mengulas gesaan Angkatan Muda Keadilan (AMK) supaya diadakan sidang tergempar Parlimen bagi membahaskan keputusan DNAA terhadap Ahmad Zahid

Gesaan dibuat Naib Ketua AMK, Atyrah Hanim Razali yang mahu satu tempoh masa perlu diberikan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk mencari bukti baharu bagi mendakwa semula Ahmad Zahid.

Menurut Atyrah, pendakwaan semula perlu dilakukan dalam kadar serta-merta jika sekalian pimpinan Kerajaan Perpaduan tidak mahu kehilangan kredibiliti yang kelak akan menyusahkan lagi kelancaran pentadbiran kerajaan diterajui Anwar yang juga Presiden PKR.

"Terutama kes prima facie telah pun berjaya dibuktikan oleh pihak pendakwaan sebelumnya," tegasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 September 2023 @ 5:01 PM