Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Kerajaan memberi jaminan isu lantikan tetap doktor kontrak akan diselesaikan dalam tempoh tiga tahun.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penyerapan itu perlu dilaksana secara berperingkat selepas mengambil kira implikasi kewangan ditanggung kerajaan jika ia diselesaikan secara sekali gus.

Katanya, bagi tahun ini, seramai 4,300 daripada 20,333 doktor kontrak yang akan diserap ke jawatan tetap.

"Kita berikan perhatian (isu doktor kontrak). Tidak ada sama sekali niat untuk meremehkan kerana doktor kontrak berkhidmat dengan baik, berkorban masa dan tenaga, selain negara memang memerlukan (mereka).

"Dalam Belanjawan 2023 peruntukan emolumen (bernilai) RM19.7 bilion kepada Kementerian Kesihatan (KKM), peningkatan RM3 bilion berbanding 2022.

"Sejumlah RM3 bilion pertambahan emolumen, termasuk RM1.2 bilion (bagi) kenaikan gaji tahunan, selain peruntukan pertambahan bagi keperluan pegawai kontrak bernilai RM600 juta.

"Pelantikan ke jawatan tetap yang diserap daripada pegawai kontrak pula bernilai RM1.1 bilion," katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

ANWAR  yang juga Menteri Kewangan ketika Sesi Soal Jawab Perdana Menteri pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen. FOTO BERNAMA
ANWAR yang juga Menteri Kewangan ketika Sesi Soal Jawab Perdana Menteri pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen. FOTO BERNAMA

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Madius Tangau (PH-Tuaran) berhubung jumlah keseluruhan pegawai perubatan lantikan kontrak dalam perkhidmatan awam dan implikasi kewangan jika semuanya diserap ke jawatan tetap.

Anwar berkata, kerajaan memahami perkara itu adalah isu lama yang berlarutan, justeru memberi jaminan akan menanganinya sebaik mungkin selain menambah baik peluang latihan kepakaran dan garis panduan sedia ada.

"Baki pegawai kontrak disasarkan untuk diserap menjelang 2025 dan dianggarkan membabitkan peruntukan tambahan sekitar RM1.7 bilion," katanya.

Menurutnya, meskipun pelantikan tetap doktor kontrak sedang ditangani, KKM juga pada pasa sama akan terus membuat pelantikan kontrak bagi tujuan 'housemanship' yang turut memberi implikasi kepada peningkatan kos emolumen KKM setiap tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 April 2023 @ 1:52 PM