Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Sesi penggulungan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) kecoh dan tergendala apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyebut pentadbiran terdahulu juga pernah membuat keputusan melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) dalam beberapa kes terdahulu.

Anwar ketika menjawab DNAA Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia adalah keputusan Peguam Negara mengikut 145 (3) dan beliau menafikan campur tangan dalam perkara itu.

Pada masa sama, Anwar turut menyentuh Putrajaya pernah buat perkara sama semasa pentadbiran terdahulu dengan merujuk Siti Aisyah yang dilepaskan tanpa dibebaskan daripada pertuduhan membunuh warga Korea Utara, Kim Jong-Nam, selepas pendakwa raya menggugurkan pendakwaan terhadapnya, pada Mac 2019.

Beliau juga merujuk perintah DNAA turut direkodkan bagi kes timbalan pendakwa raya (TPR) mendakwa Long Samat pada 1974, TPR dakwa Johnson Tan Han Seng (1977) serta TPR dakwa Zainuddin dan Anor (1986) serta kes Karpal Sing dan Anor (1991).

Ia membuatkan Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin bangun dan teriak meminta Anwar menarik semula tuduhannya dengan menggunakan Aturan Mesyuarat 36(6) kerang mendatangkan sangkaan jahat.

Radzi meminta Speaker, Tan Sri Johari Abdul membuat keputusan supaya Anwar menarik semula ucapannya berikutan ia mencalar maruahnya dan tiada kena mengena dengan dirinya.

Keadaan itu membuatkan Dewan Rakyat panas dengan beberapa Ahli Parlimen blok pembangkang bangun mencelah termasuk Hulu Langat dan Sungai Petani meminta Radzi duduk.

Johari meminta Anwar mengesahkan perkara itu dengan Ahli Parlimen Tambun itu sekali lagi meneruskan sesi itu dengan berkata, DNAA terhadap Ahmad Zahid bukanlah suatu pertuduhan kali pertama selepas kes prima facie dibuktikan.

"Ahli Parlimen di sebelah sana (pembangkang) yang tidak mahu disebutkan kerana takut menyinggung.

"Dalam kes DNAA dibangkitkan, keputusan akhirnya daripada Peguam Negara.

"Ketika saya disergah secara biadap, saya jawab dan saya kata memang betul Putrajaya (Radzi) tahu kerana pentadbiran terdahulu dan bekas Peguam Negara, sebab itu dia tak tahan nak dengar penjelasan kerana mereka biasa dengan sistem berkenaan, mereka ingat saya akan teruskan dengan sistem itu sebab itu saya jawab dengan tegas," katanya.

Johari kemudian memberi penghormatan kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin memberikan ulasan.

"Yang Berhormat Perdana Menteri buat Putrajaya jadi sebagi satu tuduhan maka sebab itu Putrajaya bangun kerana merasakan tak adillah buat tuduhan kalau betul pun ada jelas, biarlah betul-betul selepas sudah ada bukan sebelum ada.

"Ini membuatkan Putrajaya bangkit untuk selamatkan maruah dia. Kita bincang DNAA perkara yang sudah berlaku.

"Ini perkara tiada kena mengena dengan Putrajaya tak adil sebab itu dia bangun pertahankan maruah dia. Sebab itu YB (Anwar) selesaikan tarik balik," katanya.

Pertikaman lidah antara pihak pembangkang dan kerajaan berlarutan kira-kira setengah jam hingga membuatkan Johari mengarahkan Radzi keluar dari sesi berkenaan sebelum Hamzah mencelah.

"Putrajaya ingin jaga maruahnya sendiri, tetapi apabila dituduh Perdana Menteri tiba-tiba pentadbiran dulu pusing, itu tak dapat diterima.

"Kalau Speaker meminta Putrajaya keluar, maknanya maruah kami juga, kita semua akan keluar, saya tak boleh terima sesuatu yang tak adil. Kita mahukan keadilan," katanya.

Serentak itu, Radzi dengan beberapa Ahli Parlimen blok pembangkang bangun dan keluar meninggalkan sesi Dewan Rakyat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 September 2023 @ 7:08 PM