PENDUDUK mendakwa pencemaran udara yang terjadi berpunca dari sebuah kilang kuari di Pulai Chondong, Machang. FOTO  Nik Abdullah Nik Omar
PENDUDUK mendakwa pencemaran udara yang terjadi berpunca dari sebuah kilang kuari di Pulai Chondong, Machang. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Oleh Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: Pihak berkuasa mengambil serius aduan penduduk mengenai pencemaran udara di tiga kampung di Machang yang didakwa akibat kilang kuari berhampiran.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (Jas) Kelantan Wan Aminordin Wan Kamaruddin berkata, pihaknya melakukan siasatan dan sudah mengeluarkan arahan mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 terhadap kilang itu.

Katanya, ia bagi memastikan pengendali kilang mengambil tindakan segera susulan aduan penduduk mengenai pencemaran udara selain bau, hasil daripada pengoperasian.

"Jas Kelantan sudah menjalankan siasatan di lokasi seperti dilaporkan serta mengenal pasti punca yang menyumbang kepada pencemaran di kawasan yang diadu hingga timbul ketidakselesaan.

"Ketika siasatan Jas di rumah penduduk didapati tidak ada bau atau habuk yang dikesan daripada premis berkenaan dan pada ketika itu turut dimaklumkan pencemaran daripada asap kilang datang sekali-sekala.

"Siasatan di kilang mendapati ia beroperasi seperti biasa, tetapi tiada bahan premix diproses kerana dimaklum tiada permintaan.

"Pemeriksaan mendapati premis itu dilengkapi alat kawalan udara yang berfungsi untuk mengurangkan bau (dan sisa) yang dilepaskan ke cerobong," katanya ketika dihubungi.

Wan Aminordin berkata, pihaknya akan melakukan pemeriksaan susulan ke atas pematuhan arahan berkenaan sebelum mengambil tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Jajahan Machang Nik Mohd Hasanuddin Nik Hussain berkata, pihaknya mendapati pencemaran debu berlaku hasil daripada aktiviti keluar masuk lori ke kawasan berkenaan.

Katanya, ketika cuaca panas, pencemaran udara bukan hanya daripada asap kilang, tetapi debu kuari berhampiran.

"Sepanjang jalan keluar masuk dari jalan utama Machang ke Kota Bharu ke tapak pengusaha kuari ia didapati berdebu.

"Hal ini berlaku disebabkan tidak ada usaha daripada pengusaha kuari untuk membasahkan laluan yang berdebu," katanya.

Pejabat Tanah dan Jajahan Machang juga tidak menerima sebarang laporan daripada penduduk mengenai perkara itu.

"Bagaimanapun, saya akan berhubung dengan pihak berkaitan supaya permasalahan ini dapat diselesaikan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mac 2023 @ 7:45 AM