Oleh Hazira Ahmad Zaidi

Machang: Hampir 2,000 penduduk tiga kampung di sini, hidup dalam kebimbangan selepas kawasan kediaman mereka dikatakan terdedah dengan pencemaran udara akibat kuari dan asap kilang.

Penduduk Kampung Jenereh Bongkok, Kampung Pangkal Nering Timur dan Kampung Bukit mendakwa pencemaran udara itu sudah berlaku sejak Januari lalu apabila kilang baharu dibina mula beroperasi.

Mereka mendakwa kilang itu memiliki cerobong lebih besar dan tinggi dipercayai melepaskan asap serta debu ke udara selain bau, malah semakin buruk apabila dibawa angin ke kawasan kampung.

Penduduk, Mek Yah Yaacob, 72, berkata, selain mengancam kesihatan, situasi itu menyebabkan keadaan di dalam rumahnya berdebu dan dia perlu sentiasa menutup tingkap.

"Jarak antara rumah saya dan kilang pula hanya 500 meter, mengundang rasa tidak selesa dan pada masa sama, bimbang kesihatan anak yang menghidap asma serta cucu yang masih kecil.

"Cuaca panas ketika ini menyebabkan lebih banyak debu, maka kami hanya menghabiskan masa di dalam rumah sahaja," katanya ketika ditemui di Pulai Chondong, di sini.

FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.

Suri rumah, Siti Aishah Mohd Noor, 43, pula mendakwa kesihatan mereka sekeluarga terjejas disebabkan pencemaran udara.

"Kami kerap batuk dan pada masa sama tidak selesa kerana kulit menjadi kering dan mata berair," katanya yang memberitahu cuaca panas akan memburukkan lagi keadaan kerana persekitaran berhabuk.

Sementara itu, Hazlina Said, 46, berkata, kisah pencemaran akibat industri kuari berhampiran kawasan kampung pernah dilaporkan media sembilan tahun lalu.

Dia juga difahamkan kilang berkaitan pernah diawasi Jabatan Alam Sekitar (Jas) agar patuh aspek keselamatan namun kini wujud pula kilang baharu.

"Demi kesihatan keluarga, semua makanan saya simpan dalam bekas bertutup bagi mengelak tercemar dengan debu dan habuk.

"Kami berharap pihak berkuasa mengambil tindakan segera bagi mengelak perkara ini menjadi serius pada masa hadapan," katanya.

KUARI yang didakwa punca tiga kampung di Machang dilanda pencemaran udara.
KUARI yang didakwa punca tiga kampung di Machang dilanda pencemaran udara.

Ikuti penjelasan pihak berkuasa berhubung isu ini dalam terbitan Harian Metro esok.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mac 2023 @ 7:00 AM