JAS Johor mengenakan tindakan penahanan operasi kilang yang menjalankan aktivitu pyrolysis tayar di Tanjung Langsat Pasir Gudang yang menyebabkan pencemaran bau. FOTO IHSAN JAS
JAS Johor mengenakan tindakan penahanan operasi kilang yang menjalankan aktivitu pyrolysis tayar di Tanjung Langsat Pasir Gudang yang menyebabkan pencemaran bau. FOTO IHSAN JAS
Omar Ahmad


Johor Bahru: Dua kilang di Tanjung Langsat, Pasir Gudang dan Kawasan Perindustrian Desa Cemerlang, di sini dikenakan tindakan penahanan operasi kerana melakukan pencemaran bau dan udara.

Tindakan diambil Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor dalam operasi bersepadu selepas premis itu dikesan gagal mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) dan peraturan di bawahnya.

Dalam kenyataan semalam, JAS Johor memaklumkan pihaknya menerusi pejabat cawangan Pasir Gudang melakukan operasi berkenaan bersama Majlis Bandaraya Pasir Gudang dan Polis Diraja Malaysia.

Premis pertama yang mengusahakan aktiviti pyrolysis tayar di Tanjung Langsat didapati tidak menyedia sistem kawalan pencemaran udara yang mengikut spesifikasi ditetapkan hingga berlaku pencemaran bau di sekitarnya.

"Premis telah dikenakan tindakan penahanan operasi kelengkapan di bawah Seksyen 38(1)(a) Akta 127 dan pihak itu diingatkan supaya sentiasa mematuhi peraturan atau tindakan tegas boleh dikenakan.

"Manakala premis kedua membabitkan kilang logam yang menjalankan aktiviti powder coating dikenakan tindakan sama akibat kegagalan alat kawalan pencemaran udara," kata kenyataan itu.

Menurut JAS, kilang itu diarah melakukan pembaikan segera bagi mengelak pencemaran habuk yang teruk dan turut dikompaun RM10,000 atas pelbagai kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Disember 2021 @ 10:24 AM