DUA kilang memproses ikan di Limbungan Chain Ferry dikenakan kompaun keseluruhan berjumlah RM10,000. FOTO ihsan JAS Pulau Pinang
DUA kilang memproses ikan di Limbungan Chain Ferry dikenakan kompaun keseluruhan berjumlah RM10,000. FOTO ihsan JAS Pulau Pinang
Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang mengeluarkan kompaun keseluruhan berjumlah RM10,000 ke atas dua kilang memproses ikan di Limbungan Chain Ferry, di sini, hari ini.

Kompaun itu dikeluarkan selepas kedua-dua premis berkenaan didapati gagal menguruskan buangan terjadual hingga menyebabkan berlaku pencemaran bau.

Pengarah JAS negeri, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, sebelum ini, pihaknya menerima aduan bau busuk daripada penduduk Taman Limbungan Indah, di sini sebelum turun ke lapangan pada 10 pagi hingga 1 tengah hari untuk menjalankan pemeriksaan.

"Siasatan JAS mendapati aduan penduduk adalah berasas dan jarak antara penduduk taman dengan premis kilang adalah sekitar 30 meter sahaja.

"Operasi kilang memproses ikan akan memberi kesan bau apabila angin bertiup ke arah kawasan perumahan terbabit.

"Justeru, tindakan kompaun berjumlah RM10,000 diambil ke atas dua kilang yang telah diperiksa pihak kita di atas kesalahan gagal menguruskan buangan terjadual mengikut Peraturan Buangan Terjadual 2005," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, notis arahan di bawah Seksyen 31 dan 37, Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 juga diambil supaya pihak kilang mengambil tindakan segera bagi mengawal pencemaran bau terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Julai 2022 @ 7:15 PM