TENGKU Amir berkenan menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada anak-anak yatim. FOTO Rohanis Shukri.
TENGKU Amir berkenan menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada anak-anak yatim. FOTO Rohanis Shukri.
Norzamira Che Noh


Klang: Seramai 1,787 anak-anak yatim di sini, menerima sumbangan Aidilfitri Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) yang disampaikan oleh Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah, hari ini.

Pengerusi YIDE, Tan Sri Mazlan Mansor berkata, bagi pelaksanaan sumbangan itu, yayasan memperuntukkan sejumlah RM268,050 dengan setiap penerima menerima RM150 setiap seorang bagi membantu menghadapi persiapan Aidilfitri.

"Klang adalah daerah pertama dalam negeri ini yang dijelajah YIDE bersama Raja Muda Selangor bagi penyerahan sumbangan kepada anak-anak yatim dan pada 1 Ramadan lalu, YIDE bersama Raja Muda Selangor menyerahkan sumbangan di Melaka (Rumah Anak Yatim Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah).

"Alhamdulillah, setelah hampir tiga tahun YIDE tidak membuat program seumpama ini bersama anak-anak yatim kerana kekangan wabak Covid-19, hari ini kita dapat menyantuni mereka

"YIDE turut menzahirkan penghargaan terima kasih kepada Majlis Agama Islam Selangor (Mais) yang menyerahkan sumbangan Baitulmal dan Tabung Amanah Anak Yatim MAIS berjumlah RM 547,020 kepada YIDE," katanya pada Majlis Penyerahan Sumbangan Hari Raya kepada anak-anak yatim daerah Klang di Masjid Kampung Raja Uda, di sini hari ini.

GELAGAT anak- anak yatim menerima duit raya pada majlis sumbangan Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) di Masjid Kampung Raja Uda. FOTO Rohanis Shukri.
GELAGAT anak- anak yatim menerima duit raya pada majlis sumbangan Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) di Masjid Kampung Raja Uda. FOTO Rohanis Shukri.

Dalam pada itu, pada Ramadan kali ini, YIDE mensasarkan kutipan Kupon Infaq Yatim berjumlah RM2 juta yang mana tahun lalu, yayasan itu berjaya mengutip sekitar RM1.3 juta.

"Sebelum ini, kita meletakkan kupon infaq di lima daerah sahaja, namun tahun ini ia diedarkan ke semua daerah di negeri ini.

"Insya-allah dengan pembukaan masjid seperti biasa, kita harap boleh capai sasaran RM2 juta kutipan," katanya.

Pada majlis berkenaan, seramai lapan Ketua Sahabat Prihatin YIDE untuk daerah Klang dan Sepang menerima sijil penghargaan daripada YIDE sebagai penghargaan terima kasih di atas komitmen yang diberikan dalam membantu YIDE mengedarkan Kupon Infaq Yatim YIDE pada bulan Ramadan.

Ketua Sahabat Prihatin YIDE adalah wakil yayasan di setiap zon yang dilantik bagi membantu YIDE bukan sahaja berkaitan anak yatim tetapi bencana.

Setakat ini, seramai 45 Ketua Sahabat Prihatin YIDE berada ditempatkan di seluruh daerah di Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mac 2023 @ 4:18 PM