Kenderaan bernombor pendaftaran Singapura mengisi petrol ron95 yang tular dimedia sosial baru-baru ini. FOTO TULAR
Kenderaan bernombor pendaftaran Singapura mengisi petrol ron95 yang tular dimedia sosial baru-baru ini. FOTO TULAR
Oleh Omar Ahmad


Johor Bahru: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor membuka 13 kertas siasatan berhubung aduan kenderaan bernombor pendaftaran Singapura yang mengisi petrol RON95 bersubsidi di negeri ini.

Pengarah KPDNHEP Johor, Mohd Hairul Anuar Bohro berkata, aduan yang diterima bermula sejak sempadan negara dibuka pada 1 April lalu.

Katanya, ia membabitkan 13 stesen minyak di seluruh daerah ini termasuk dua yang tular di media sosial baru-baru ini.

"Kedua kes yang baru-baru ini tular di media sosial membabitkan dua stesen minyak termasuk satu di sekitar Skudai.

"Kita terima aduan dan sedang menjalankan siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961. Setakat ini 13 kertas siasatan membabitkan 13 stesen minyak dibuka," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Terdahulu, tular di media sosial dua gambar memaparkan kenderaan bernombor pendaftaran Singapura mengisi petrol RON95 di negeri ini.

Pemilik stesen minyak yang didapati gagal memantau penyalahgunaan petrol RON95 boleh disiasat mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 1974, Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961.

Ia membawa hukuman pada denda maksimum RM1,000,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara bagi kesalahan kedua dan berikutnya denda maksimum RM3,000,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, manakala hukuman bagi syarikat, denda maksimum RM2,000,000 dan bagi kesalahan kedua serta berikutnya denda maksimum RM5,000,000.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mei 2022 @ 12:46 PM