Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menumpaskan aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi menerusi Ops Tiris selepas menyerbu sebuah premis tanpa nombor di Semenyih, di sini yang disyaki dijadikan stor tempat penyimpanan dan pemindahan minyak diesel bersubsidi kelmarin. FOTO Ihsan KPDN
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menumpaskan aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi menerusi Ops Tiris selepas menyerbu sebuah premis tanpa nombor di Semenyih, di sini yang disyaki dijadikan stor tempat penyimpanan dan pemindahan minyak diesel bersubsidi kelmarin. FOTO Ihsan KPDN
Oleh Muhaamad Hafis Nawawi


Kajang: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menumpaskan aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi menerusi Ops Tiris selepas menyerbu sebuah premis di Semenyih, dekat sini, yang disyaki dijadikan stor tempat penyimpanan dan pemindahan minyak diesel bersubsidi, kelmarin.

Pengarah Penguatkuasanya Datuk Azman Adam berkata, serbuan yang dilakukan oleh sepasukan anggota penguat kuasa KPDN Putrajaya pada jam 9.30 malam itu adalah hasil risikan dilakukan selama beberapa hari sebelumnya.

Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut ke atas keseluruhan premis, pihaknya menemui minyak diesel dengan kuantiti keseluruhan berjumlah 5,000 liter serta beberapa peralatan lain yang digunakan untuk kegiatan penyelewengan bahan terbabit.

"Minyak diesel, pam bermotor, paip penyambung, beberapa dokumen berkaitan serta peralatan lain yang ditemui di lokasi serbuan disita bagi tujuan siasatan lanjut dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM13,250.

"Kertas siasatan dibuka dan siasatan lanjut ke atas kes ini sedang dilakukan mengikut Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 bagi mengenal pasti individu atau syarikat yang terbabit dalam aktiviti itu serta rantaian pengedaran minyak diesel termasuk sumber minyak diesel diperoleh dan diedarkan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, syarikat itu juga akan disiasat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) (Akta 613).

"Berdasarkan statistik penguatkuasaan Ops Tiris bermula 1 hingga 21 Mac lalu, sebanyak 2,582 pemeriksaan dilakukan di seluruh negara.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 69 kes dihasilkan membabitkan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM1.27 juta," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mac 2023 @ 11:52 AM