Zatul Iffah Zolkiply dan Faizul Azlan Razak


Kuala Nerus: Jawatankuasa Pemilihan Umno (JPU) 2023 menerima tidak lebih 20 aduan sepanjang pemilihan di peringkat Pemuda, Wanita dan Puteri di bahagian di seluruh negara.

Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, siasatan sedang dijalankan pihak jawatankuasa dan pemilihan semula akan dilakukan jika ia membabitkan masalah yang besar.

Bagaimanapun, beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, setakat ini, tidak ada masalah besar yang berlaku di peringkat Wanita, Pemuda dan Puteri pada pemilihan yang diadakan pada Sabtu lalu.

"Apabila sayap-sayap menjalankan pemilihan (minggu lepas), terdapat tidak lebih daripada 20 aduan setakat ini yang sampai ke JPU.

"Kita melayani setiap aduan dan setiap rasa tidak puas hati dan saya diberitahu oleh pengerusi lembaga disiplin dan pengerusi JPU bahawa siasatan secara teliti akan dilakukan untuk memuaskan hati pengadu-pengadu berkenaan di samping berlaku adil kepada sistem yang sedia ada

"Tidak ada masalah yang besar, ada masalah yang membabitkan peraturan atau pun peraturan yang tidak diikuti (dan) itu akan diselesaikan.

"Mana-mana bahagian yang terlalu bermasalah besar, maka pemilihan semula akan dilakukan, " katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas sesi pengenalan calon pemilihan Umno peringkat negeri Terengganu di sini hari ini.

Isnin lalu, JPU 2023 memutuskan mesyuarat Pemuda Umno Titiwangsa dan Semporna ditangguhkan selepas menerima aduan berkaitan ketidakaturan perjalanan pemilihan sayap itu pada Sabtu lalu.

Pengerusi JPU 2023, Tan Sri Shahrir Samad, berkata keputusan pemilihan daripada dua sayap bahagian itu tidak akan dikira bagi penjumlahan keseluruhan undi bahagian-bahagian Pemuda kali ini, khususnya di peringkat pusat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mac 2023 @ 7:55 PM