DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob. FOTO Arkib NSTP.
DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob. FOTO Arkib NSTP.
Suraya Ali


Kuala Lumpur : Berbaki lima hari sebelum pendaftaran calon pemilihan Umno 2023 ditutup 26 Februari depan, masih belum ada calon yang mendaftar untuk bertanding jawatan Naib Presiden Umno.

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika dihubungi berkata beliau belum memutuskan sama ada akan bertanding jawatan itu.

Walau bagaimanapun, Ismail mengesahkan beliau sudah menghantar borang pendaftaran calon beliau untuk bertanding jawatan ketua bahagian Umno tanpa menamakan kawasan itu.

Ismail kini menyandang jawatan Ketua bahagian Umno Bera, Pahang.

"Saya sudah menghantar borang pencalonan untuk jawatan Ketua Bahagian, sebelum ini saya membayangkan untuk tidak bertanding jawatan Naib Presiden namun saya belum membuat keputusan rasmi mengenainya," katanya kepada BH hari ini.

Ditanya sama ada calon perlu mendapat 'restu' mana-mana pihak untuk bertanding jawatan Naib Presiden Umno, Ismail berkata beliau tidak mengetahui berkenaan perkara itu.

"Saya tak tunggu 'restu' siapa-siapa saya akan bertanding jika itu adalah keputusan saya, setakat ini saya belum membuat apa-apa keputusan," katanya.

Ismail diminta mengulas kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Umno (JPU), Tan Sri Shahrir Samad, berkata belum ada lagi tokoh yang mendaftar untuk bertanding jawatan itu, tapi menerima 24 pencalonan untuk jawatan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, menjelang hari terakhir pencalonan, Ahad ini.

Katanya, ramai calon untuk jawatan itu namun senarai yang dihebahkan di media-media sosial adalah tidak benar.

"Senarai di media sosial itu spekulasi semata, cuma calonnya ramai, mengapa mereka masih belum menghantar borang, saya tidak tahu.

"Untuk saya sendiri, saya masih belum membuat keputusan sama ada mahu bertanding atau tidak," katanya.

Semalam, Shahrir berkata seramai 111 calon sudah mendaftarkan diri untuk pertandingan di peringkat MKT Umno, Wanita, Pemuda dan Puteri.

Untuk rekod, Naib presiden Umno adalah jawatan nombor tiga dalam Umno dan ketika ini disandang oleh Ismail, Datuk Seri Mahadzir Khalid serta Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Pendaftaran bagi proses Pemilihan Umno 2023 sudah dibuka bermula 12 sehingga 26 Februari ini, di Auditorium Menara Dato' Onn bagi jawatan Ahli MKT Umno, Exco Wanita, Pemuda dan Puteri.

Bagi pemilihan jawatan di peringkat ahli jawatankuasa bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri bahagian, pendaftaran dibuka di Pejabat Umno Bahagian atau Perhubungan Umno negeri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Februari 2023 @ 2:33 PM