Suzalina Halid


Kuala Lumpur: Sesi persidangan Dewan Rakyat, kecoh selepas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul mengarahkan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) keluar dewan selama dua hari.

Arahan itu dikeluarkan Johari selepas Awang dilihat mengganggu sesi penggulungan usul Belanjawan 2023 oleh Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli apabila mencelah beberapa kali walaupun tidak diberikan ruang terbabit.

Sesi penggulungan Rafizi yang mencetuskan kekecohan itu semakin tidak terkawal apabila Ahli Parlimen Pandan berkenaan menggelarkan Awang sebagai badut.

"Pendang kalau hendak jadi badut, boleh cari menteri lain berucap, bukan masa saya...saya ada benda penting nak sebut," katanya.

Awang kemudiannya bangkit dengan mendakwa ucapan Rafizi itu mempunyai sangkaan jahat sebelum Johari memutuskan supaya Ahli Parlimen Pendang itu keluar dewan selama dua hari.

"Saya rehatkan Pendang untuk dua hari, keluar sekarang, hari ini dan esok, saya sudah beritahu awal kalau menteri tak beri masa dan tempat, Pendang jangan bangkit sebab menteri tak bagi, tapi dia bangkit juga.

"Saya dah beritahu beberapa kali...saya dilihat tidak boleh mengawal dewan kerana rakyat hendak dengar apa yang kita bincang," katanya.

Rafizi bagaimanapun menarik semula perkataan badut itu selepas diminta Johari.

"Saya tarik balik Pendang badut dan Pendang bolehlah keluar," katanya.

Kekecohan berterusan apabila Awang tidak berpuas hati terhadap ucapan Rafizi yang menyuruhnya keluar kerana menyifatkan arahan itu sepatutnya hanya keluar dari mulut Yang Dipertua.

Awang Hashim. FOTO ASYRAF HAMZAH
Awang Hashim. FOTO ASYRAF HAMZAH

"Saya tidak mahu Pendang keluar, bukan kerja dia tapi kerja Speaker, saya nak dia tarik balik Pendang keluar," kata Awang.

Tindakan itu kemudiannya mengundang kemarahan Johari yang kemudiannya meninggikan suara dengan meminta supaya Awang keluar.

"Semua duduk diam...Pendang dengan segala hormatnya...saya beritahu anda supaya keluar...keluar," katanya.

Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) turut bangkit mencelah dengan meminta supaya Rafizi tidak melakukan provokasi apabila menyebut nama seseorang secara spesifik.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mac 2023 @ 4:50 PM