Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Suasana sesi Persidangan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15, petang ini 'panas' seketika apabila beberapa ahli Parlimen bertikam lidah.

Ia bermula selepas Ahmad Tarmizi Sulaiman (Sik-PN) bangun mencelah ketika Syed Ibrahim Syed Noh sesi (Ledang-PH) membahaskan usul titah Diraja mengenai isu sekolah daif.

Menurut Ahmad Tarmizi, pihaknya setuju kerajaan prihatin dan menambah baik sekolah daif di negara ini.

Namun, beliau membangkitkan sama ada Ahli Parlimen Ledang itu menyedari yang Kementerian Pendidikan (KPM) menghalang seluruh ahli parlimen pembangkang daripada memberi bantuan di sekolah termasuk di daerah Sik.

"Sebelum ini, sekolah Sik dapat bantuan ahli parlimen RM20,000...RM30,000 untuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), baik pulih kelas dan sebagainya (tapi) hari ini kami nak masuk pagar sekolah pun tak dibenarkan.

"Jadi apa maksud hendak beri pendidikan yang meluas kepada rakyat dan bagaimana kita hendak bantu dan yang menjadi mangsanya (sudah tentu) anak-anak kita.

"YB (Yang Berhomat) Ledang minta beri pandangan," katanya.

Bagaimanapun, Datuk Awang Hashim (Pendang-PN) bangun mencelah sebelum pertikaman lidah antara Mohd Sany Hamzah (Hulu Langat-PH) dan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (Arau-PN) bermula.

Awang : Saya nak sambung sikit saja. Ledang sekejap saja, saya nak beri pujian saja. Saya tengok Hulu Langat hari ini sebut tertib macam itulah (baru) rasional.

Mohd Sany : Cemburu ke? Cemburu ke? Sebab itu saya nak minta juga Ledang maksudnya Pendang pun kena beradab, kalau saya boleh beradab sebelah sana kena beradab dan berakhlak juga.

Sebab itu dalam PRU (Pilihan Raya Umum) apabila kita nak dapatkan undi rakyat kena fakta bukan rasuah beri pengundi kita duit.

Sebelah sana nak kena tengok balik sikap, adab dan integriti kita sebagai ahli parlimen kita kena jaga juga. Terima kasih Pendang.

Awang : Kita tak mahu tuduh-tuduh. Terima kasih lah (Hulu Langat) minta kebenaran daripada Ledang macam itulah (baru) tertib dan rasional.

Mohd Sany : Saya minta Pendang pun tertib. Sama-sama kita tertib.

Shahidan : Hulu Langat, ini masa Ledang lah.

Mohd Sany : Eh, Arau. Tak ada lah. Ye lah, Ledang beri saya.

Shahidan : Kamu duduk

Mohd Sany : Arau pun kamu duduk

Kemudian, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Alice Lau Kiong Yieng menegur ahli parlimen supaya tidak membuang masa sebelum meminta Syed Ibrahim meneruskan sesi yang tergendala.

Namun Ahli Parlimen Ledang itu memberi laluan kepada Datuk Seri Aminuddin Harun (Port Dickson-PH) sebelum dipintas Ahli Parlimen Pendang.

Awang : Saya belum habis cakap lagi cuma nak puji Hulu Langat saja. Saya hendak sentuh pasal rasuah.

Alice : Pendang, Pendang...

Syed Ibrahim : Saya beri laluan pada Port Dickson

Mohd Sany : Pendang duduk la Pendang, Arau...Arau, suruh Pendang duduk

Alice : Sila duduk semua. Pendang sila duduk... Hulu Langat (duduk)... Pendang... sudah banyak kali saya suruh duduk. Ok Port Dickson (silakan).

Menurut Aminuddin, isu wakil rakyat atau ahli politik tidak dibenarkan memberi bantuan ke sekolah ini sudah berlaku sejak dulu lagi.

"Saya sebagai Menteri Besar memberikan peruntukan berjuta ringgit untuk pendidikan (tetapi) saya tak datang sekolah.

"Jadi, tak jadi masalah kalau tak masuk sekolah (kerana) duit (bantuan) boleh sampai melalui PIBG dari luar sekolah," katanya.

AWANG Hashim. FOTO Arkib NSTP
AWANG Hashim. FOTO Arkib NSTP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Februari 2023 @ 5:49 PM