Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Usul Dr Mohammed Taufiq Johari (PH-Sungai Petani) mengenai isu kilang beras di Kedah yang disita diterima untuk dibahaskan menyebabkan Dewan Rakyat kecoh kira-kira 15 minit.

Ini kerana selepas usul Mohammed Taufiq diterima, Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) bangun membangkitkan pertanyaan mengapa usulnya yang dihantar pada Selasa tidak ada jawapan daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

"Saya hantar usul hari Selasa. Yang ini (Mohammed Taufiq) hantar hari Rabu. Jadi kenapa saya dinafikan hak untuk dijawab. Saya tahu saya bukan daripada sana (kerajaan). Tetapi saya hantar Rabu," katanya.

Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) kemudiannya mencelah dengan menyatakan "anak papa."

Ia kemudiannya menyebabkan Dewan Rakyat tegang akibat daripada celahan itu dan beberapa ahli parlimen daripada blok pembangkang bangun.

Antaranya RSN Rayer (PH-Jelutong) dengan mencabar supaya Awang untuk bangun dan mahukan beliau dikenakan tindakan.

Selain itu, Mohammed Taufiq juga meminta Awang untuk menjelaskan maksud yang dinyatakan olehnya dan bersifat profesional.

Awang kemudiannya mempertahankan kenyataan dibuatnya dengan menyatakan "anak siapa, kalau bukan anak papa?"

Selain itu beliau juga menyatakan bahawa berlakunya konflik kepentingan dalam usul seperti itu.

Bagaimanapun, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Alice Lau Kiong kemudiannya menyatakan bahawa Johari mengarahkan Datuk Ramli Mohd Noor yang juga Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk mempertimbangkan usul tersebut.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin kemudiannya bangun dengan menyatakan pihaknya melihat isu ini berlaku kerana adanya 'double standard' (pilih kasih).

"Isu di mana apabila Sungai Petani (Mohammed Taufiq) bangkit dan Arau (Shahidan) juga bangkit, nampak ada 'double standard'. Sebabnya Arau hari Selasa minta. Tidak ada keputusan. Tetapi Sungai Petani hari Rabu ada keputusan.

"Jadi ada orang cakap 'conflict of interest" (konflik berkepentingan) . Tak salah kalau kita (kata) oleh kerana anak bapalah ada 'conflict of interest'. Sebab itu dia (Johari) beri timbalan speaker (Ramli) yang bercakap.

"Apa yang tak mengakunya anak bapa? Ya benar, 'conflict of interest' menyebabkan timbalan speaker yang terpaksa buat keputusan tersebut," katanya.

Bagaimanapun, kenyataan Hamzah itu menyebabkan beberapa ahli parlimen blok kerajaan bangun.

Alice kemudiannya meminta mereka untuk duduk dan mengarahkan Awang menarik balik kenyataan dibuatnya dan mengarahkannya keluar.

"Saya arahkan supaya Pendang tarik balik. Kalau tidak mahu tarik balik, saya persilakan keluar rehat dan masuk balik sesi petang," katanya.

SUASANA Dewan Rakyat. FOTO YouTube Parlimen Malaysia
SUASANA Dewan Rakyat. FOTO YouTube Parlimen Malaysia

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Oktober 2023 @ 2:29 PM