Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Persoalan 'mana anak menantu' Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin sekali lagi mencetuskan perang mulut di Dewan Rakyat hari ini.

Kekecohan itu membuatkan sesi Perbahasan Belanjawan 2024 giliran Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu tergendala kira-kira 20 minit.

Perang mulut itu bermula apabila Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) mencelah bangun mempersoalkan di mana anak dan menantu Muhyiddin yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Muhyidin ketika itu sedang menyentuh isu beras dalam perbahasannya dicelah Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) yang meminta pandangan sama ada Ahli Parlimen Pagoh itu bersetuju pertanian adalah keterjaminan makanan masa depan, namun Khoo meminta laluan.

Khoo meminta pandangan Ahli Parlimen Pagoh itu mengenai perjanjian dibuat bersama Padiberas Nasional Berhad (Bernas) ketika beliau menjadi Perdana Menteri hingga dakwanya menyebabkan rakyat pada hari ini terbeban dengan keputusan itu selain mempersoalkan kenapa anak menantu Muhyiddin tidak boleh balik Malaysia sampai hari ini.

Khoo mula mengeluarkan kenyataan itu sebagai reaksi perli Muhyiddin kerana semasa perbahasannya itu Ahli Parlimen Pagoh itu menyatakan keraguan sama ada langkah penjimatan subsidi dilakukan kerajaan hari ini akan sampai kepada rakyat.

Persoalan diungkapkan Khoo itu membuatkan Dewan Rakyat gamat dengan tikam lidah antara blok pembangkang dan kerajaan bagi menyokong rakan masing-masing hingga Timbalan Speaker, Alice Lau Kiong semakin tidak dapat mengawal keadaan apabila Ahli Parlimen Kampar, Jelutong, Arau, Pendang dan Putrajaya masuk campur.

"Saya sudah kata apa ditanya Kota Melaka sudah keluar tajuk. Kita bincang tentang beras untuk minta penjelasan kenapa sentuh menantu pula.

"Kalau semua Yang Berhormat (YB) hanya buat kacau saya tak akan benarkan pencelahan selepas ini, jadi saya harap Kota Melaka boleh tarik balik tentang menantu," kata Alice.

Bagaimanapun, Khoo masih tidak berganjak dari pendirian sebaliknya meminta laluan untuk memberikan penjelasan hingga menyebabkan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) melontarkan perkataan kepada Kota Melaka supaya jangan ikut seperti perangai Zionis.

Alice meminta Ahli Parlimen Pendang itu menarik semula kenyataannya yang berbaur sangkaan jahat, namun Awang meminta Khoo menarik dulu kenyataan disebut terhadap Muhyiddin, namun Dewan Rakyat kembali panas dengan perang mulut hingga Alice mengarahkan Ahli Parlimen Kota Melaka keluar.

"Saya minta Kota Melaka tarik balik tentang menantu kalau tak mahu boleh rehat sampai selepas lunch (boleh) balik (masuk dewan)."Kalau tak, semua pencelahan (selepas ini) saya tak beri kerana saya rasa buang masa saja.

"Saya guna Peraturan Mesyuarat 43, keputusan saya muktamad kalau tak nak keluar rehat (keluar) kemudian Pendang tarik balik," katanya yang turut mengarahkan Chong Zhemin (PH-Kampar) keluar kerana mahu mencelah bagi menyokong Ahli Parlimen Kota Melaka.

Keadaan Dewan Rakyat kembali terkawal apabila Awang bersetuju mendengar arahan Alice dan menarik kenyataan dibuat terhadap Khoo, namun Ahli Parlimen Kota Melaka itu sekali lagi mahu membuat penjelasan menyebabkan Alice segera memintasnya.

"Saya rasa masa sudah tunjuk 1 tengah hari, jadi saya arahkan Kota Melaka keluar dan masuk balik selepas lunch (makan tengah hari).

"Jadi saya tak mahu bazir masa lagi kalau Kota Melaka tak nak rehat, perlu rehat kerana mesyuarat perlu ditangguhkan," katanya.

Keengganan Khoo membuatkan Awang sekali lagi melontarkan ungkapan sama sehingga dewan kembali gamat sebelum akhirnya Alice mengarahkan Ahli Parlimen Kota Melaka keluar sebelum Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (PN-Arau) tiba-tiba mengeluarkan perkataan tidak sepatutnya membuatkan Alice mengarahkan beliau menarik kenyataan itu.

Selepas diasak pelbagai pihak, Shahidan akhirnya bersetuju menarik balik ungkapan beliau manakala Alice meminta Muhyiddin menggulung perbahasannya selama lima minit sebelum beliau menangguhkan mesyuarat sehingga jam 2.30 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Oktober 2023 @ 4:30 PM