Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengakui beliau terguris dengan kenyataan dibuat Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) yang mengeluarkan kenyataan 'anak papa' terhadap Dr Mohammed Taufiq (PH-Sungai Petani).

Menurutnya, sangkaan yang dibuat oleh Awang itu ternyata menyinggungnya pada hari ini.

"Hari ini saya cukup terasa kerana sangkaan itu. Sangkaan itu menyinggung saya," katanya ketika mempengerusikan Dewan Rakyat sesi petang.

Sebelum itu pada tengah hari, usul Dr Mohammed Taufiq mengenai isu kilang beras di Kedah yang disita diterima untuk dibahaskan menyebabkan Dewan Rakyat kecoh kira-kira 15 minit.

Ini kerana selepas usul Mohammed Taufiq diterima, Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) bangun membangkitkan pertanyaan mengapa usulnya yang dihantar pada Selasa tidak ada jawapan daripada Johari.

Bagaimanapun, ia kemudiannya dicelah oleh Awang dengan menyatakan "anak papa."

Mengulas lanjut, Johari berkata, kenyataan dibuat oleh Shahidan bahawa beliau tidak berlaku adil dan memberikan peluang padanya untuk berucap juga adalah salah.

"Usul yang dibawa Arau adalah berkaitan penyalahgunaan kuasa kakitangan awam dalam kempen politik, isu kekurangan tenaga kerja dalam sektor kedai gunting rambut, tidak ada sangkut paut dengan isu padi yang disorok.

"Saya menerima cacian yang cukup banyak daripada media (sosial) yang saya tidak berlaku adil pada Arau (Shahidan) dan seolah-olah saya memberikan laluan kepada Sungai Petani (Mohammed Taufiq). Ditambah teruk lagi Pendang (Awang) kata 'anak bapak'," katanya.

Beliau turut menggesa agar ahli parlimen untuk tidak membabitkannya dalam sebarang permainan politik.

"Anda nak bermain politik, mainlah. Saya tak kisah. Tetapi jangan libatkan speaker kerana saya ada semua bukti," katanya.

JOHARI, gambar fail. FOTO tangkap layar Ihsan Facebook Parlimen dan RTM
JOHARI, gambar fail. FOTO tangkap layar Ihsan Facebook Parlimen dan RTM

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Oktober 2023 @ 4:12 PM