Izz Laily Hussein

Johor Bahru: Jumlah mangsa banjir di Johor terus berkurangan kepada 39,620 orang (10,862 keluarga) setakat jam 8 pagi ini, berbanding 40,129 orang (11,210 keluarga) pada 8 malam tadi.

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, semua mangsa banjir itu kini ditempatkan di 210 pusat pemindahan sementara (PPS) di sembilan daerah yang terjejas banjir.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Johor berkata, dua daerah terjejas mencatatkan peningkatan, empat berkurangan, manakala tiga lagi kekal.

"Batu Pahat dan Muar menunjukkan peningkatan jumlah mangsa banjir berbanding malam tadi iaitu di Batu Pahat bertambah kepada 22,209 orang (6,219 keluarga) di 76 PPS, manakala Muar meningkat kepada 5,094 orang (1,222 keluarga) di 23 PPS.

"Empat daerah lain menunjukkan penurunan iaitu di Tangkak, Segamat, Kluang dan Kota Tinggi.

"Di Tangkak, jumlah mangsa banjir kini berkurang kepada 2,584 orang (796 keluarga) di 22 PPS; di Segamat beransur pulih dan kini tinggal 4,036 mangsa banjir (991 keluarga) di 45 PPS; di Kluang pula berkurangan kepada 2,591 orang (707 keluarga) di 20 PPS dan di Kota Tinggi tinggal 1,754 mangsa banjir (502 keluarga) di 13 PPS," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, Mersing, Johor Bahru dan Pontian pula kekal dengan jumlah mangsa banjir sama pada jam 8 malam tadi.

Katanya, Mersing masih dengan jumlah mangsa banjir seramai 1,164 mangsa (348 keluarga) di enam PPS; Pontian pula 150 mangsa (39 keluarga) di empat PPS dan Johor Bahru dengan 38 mangsa banjir (38 keluarga) di sebuah PPS.

Pada masa sama, Azmi memaklumkan terdapat tambahan satu kes kematian membabitkan seorang wanita berusia 24 tahun yang dilaporkan mati lemas dalam daerah Mersing, malam tadi menjadikan korban banjir di Johor mencecah lima orang.

Sementara itu, laporan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) pula tiada mengeluarkan sebarang amaran hujan berterusan di semua daerah di Johor, namun terdapat amaran ribut petir atau hujan lebat di Mersing dan Kota Tinggi yang dijangka berlaku pagi ini.

Setakat ini, laporan cuaca sebenar pula menunjukkan semua daerah berdepan cuaca cerah kecuali Kota Tinggi dan Mersing yang hujan setakat jam 8 pagi tadi.

ANTARA mangsa banjir yang diselamatkan akibat banjir di Parit Warijo, Sri Medan. FOTO Nur Aisyah Mazalan
ANTARA mangsa banjir yang diselamatkan akibat banjir di Parit Warijo, Sri Medan. FOTO Nur Aisyah Mazalan

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mac 2023 @ 10:02 AM