KEADAAN PPS yang dinaiki air banjir di SK Seri Gading Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan
KEADAAN PPS yang dinaiki air banjir di SK Seri Gading Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan
Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Banjir di Johor semakin pulih apabila jumlah mangsa di lima daerah yang terjejas semakin berkurangan.

Bagaimanapun, jumlah mangsa di Batu Pahat terus meningkat sehingga jam 4 petang tadi.

Setiausaha Kerajaan Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, setakat jam 4 petang ini, jumlah mangsa di enam daerah terjejas iaitu Muar, Tangkak, Segamat, Kluang, Mersing dan Batu Pahat adalah seramai 44,003 orang.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Johor berkata, jumlah mangsa itu membabitkan 12,498 keluarga yang ditempatkan di 175 pusat pemindahan sementara (PPS) yang masih beroperasi.

"Setakat jam 4 petang ini, di Muar, jumlah mangsa banjir menurun kepada 3,916 orang (1,158 keluarga) di 20 PPS dan Tangkak pula kini menempatkan 2,298 orang (724 keluarga) di 19 PPS.

"Segamat pula kini tinggal 1,195 mangsa banjir (302 keluarga) di 21 PPS; Mersing mencatatkan penurunan jumlah mangsa banjir yang ketara kepada 295 orang (75 keluarga) yang ditempatkan di empat PPS dan Kluang berkurang kepada 142 orang (32 keluarga) di dua PPS," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Azmi berkata, hanya Batu Pahat saja yang jumlah mangsa banjirnya terus meningkat sehingga kini mencecah 36,157 orang (10,207 keluarga) di 109 PPS.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) tidak mengeluarkan sebarang amaran hujan di semua daerah di Johor, namun terdapat amaran ribut petir bagi Segamat, Batu Pahat, Kluang, Mersing, Pontian dan Kota Tinggi.

Bagi laporan cuaca sebenar pula setakat tengah hari ini menunjukkan empat daerah di negeri ini dilaporkan cerah, manakala empat lagi iaitu Mersing, Segamat, Pontian dan Kluang dilaporkan hujan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mac 2023 @ 5:03 PM